Cipta kelainan edar 2,000 kek pisang sempena PRU15

in Edisi Kelantan by

Aiman (kanan) mengagihkan kek pisang kepada pemandu di Jalan Pintu Geng pada Rabu.Aiman (kanan) mengagihkan kek pisang kepada penunggang motosikal di Jalan Pintu Geng pada Rabu.Aiman (dua dari kiri) menyediakan kek pisang untuk diagihkan kepada pemandu di Jalan Pintu Geng pada Rabu.

KOTA BHARU – Sepasang suami isteri mencipta kelainan pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mengagihkan 2,000 kek pisang kepada pengguna jalan raya di Jalan Pintu Geng di sini dalam tempoh dua hari.

Mereka yang mengusahakan kedai kek MrMamaHub mengagihkan kek yang ditampal pelekat ‘Undilah MrMamaHub’ bagi memeriahkan suasana kempen PRU15.

Aiman Ahmad Farid, 33, dibantu isterinya, Nur Izzati Mohamad, 29, mengambil inisiatif itu sebagai antara cara mempromosikan kedai kek yang diusahakan sejak dua tahun lalu.

**media[1976134]**

“Kami mahu mencipta kelainan pada musim PRU15 ini.

“Selama 10 minit diambil untuk mengagihkan kek yang dibuat berbentuk pisang kepada pemandu di jalan ini,” katanya.

Aiman berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan kek berkenaan kepada pemandu kenderaan pada Rabu.

Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, mereka mengagihkan kek yang dibakar segar setiap hari itu menggunakan khidmat lima pekerja.

“Kami menggunakan 25 kilogram (kg) pisang cavendish, 10kg tepung dan gula perang untuk membuat kek itu selain menempah khas pelekat untuk ditampal di plastik kek,” katanya

Katanya, ketika agihan ada pemandu yang bertanya parti pilihan mereka kerana keliru dengan pelekat yang digunakan.

**media[1976133]**

Aiman yang berpengalaman selama empat tahun dalam bidang bakeri banyak dibantu isteri yang memang meminati bidang itu.

Kek pisang menjadi antara produk penting dikedainya dijual pada harga RM15 untuk 20 biji.