Debat terbuka: Calon Pejuang ajak Ku Nan, Radzi sepentas

in Politik by

Mohd Rosli ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

PUTRAJAYA – Calon Parti Pejuang Tanah Air (GTA-Pejuang) Putrajaya, Datuk Mohd Rosli Ramli mempelawa seterunya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkongsi pentas di hadapan 42,881 pengundi.

Menurutnya, ketiga-tiga calon boleh membentangkan tawaran kepada pengundi dan penduduk Putrajaya pada debat terbuka itu.

“Saya berbesar hati sekiranya mana-mana media media boleh menganjurkan debat tiga penjuru antara kami,” katanya.

Beliau berkata, pengajuran debat itu sedikit sebanyak akan mencambahkan pemikiran rakyat terhadap agenda politik tanah air.

“insya-ALLAH kita akan berbincang kaedah-kaedah yang boleh membangunkan semula Putrajaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berkempen di medan selera, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Rosli yang juga Ahli Majlis Tertinggi Gerakan Tanah Air (GTA) mengemukakan lapan fokus utama di dalam manifesto menawan Putrajaya daripada penyandangnya, Tengku Adnan.

Antaranya, penyelesaian kepada isu tempat letak kereta dan pengangkutan awam.

“Saya tidak pasti sama ada Putrajaya hari ini masih mengikut pelan perancangan asalnya atau pun tidak.

Berdasarkan pelan asal, sepatutnya Putrajaya ini tidak mempunyai banyak kenderaan tetapi hari ini kita lihat kawasan pentadbiran kerajaan telah pun sesak,” katanya.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Timbalan Pengarah di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum pencen berkata, sudah tiba masanya Putrajaya memerlukan Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi memudahkan urusan penduduk setempat tanpa menggunakan kenderaan persendirian.

“Sekiranya tiada sebarang tindakan diambil, masalah kesesakan jalan raya dan pakir akan bertambah teruk dan berterusan. Kita mahu penduduk Putrajaya lebih bahagia,” katanya.

Selain itu, beliau dalam manifesto turut berikrar untuk menambah bilangan pusat transit sewaktu transisi anak-anak pada sesi persekolahan pagi dan petang.

“Saya faham kebimbangan ibu bapa yang risau akan keselamatan anak-anak mereka yang menunggu antara sesi sekolah pagi dan petang.

“Seharusnya, anak-anak ini diberikan kemudahan pusat transit yang lebih banyak untuk keselamatan mereka, dengan kadar bayaran yang berpatutan,” katanya.