Kempen dalam hujan bukan penghalang

in Politik by

Pengguna jalan raya melalui deretan bendera pelbagai parti politik berikutan hujan ketika tinjauan di Rantau Panjang Ahad. – Foto Bernama

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah membenarkan calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk berkempen secara fizikal tanpa ada sekatan atau prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selama 14 hari sejurus selesai hari penamaan calon pada 5 November lalu.

Bagaimanapun, ketika calon-calon dilihat sudah mula rancak mengatur strategi untuk melaksanakan kempen secara fizikal, tumpuan sedikit teralih susulan berlakunya hujan berterusan hingga menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Pada Selasa, beberapa kawasan di sekitar Shah Alam mula dinaiki banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak jam 3 petang tadi.

Antara lokasi yang terlibat termasuk Taman Sri Muda, Seksyen 17; Seksyen 24, Seksyen 32, Seksyen 32, Seksyen 36, Bukit Naga, Alam Impian dan Bukit Jelutong.

Banjir kilat di Lembah Klang juga mengakibatkan kesesakan di beberapa jalan raya utama di sekitar pusat bandar.

Selain itu, hujan lebat selama hampir dua jam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Menglembu, Ipoh, Perak turut dilanda banjir kilat pada Selasa.

Baru-baru ini juga dilaporkan beberapa kawasan di dua jajahan di Kelantan dinaiki air akibat banjir selepas berlakunya hujan lebat berterusan.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh bakal bermula lebih awal iaitu pada 7 November dan berterusan sehingga Mac 2023.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai kerana hujan yang berlarutan.

Meskipun hujan diramalkan berlarutan sehingga tahun hadapan, ia dijangka tidak menjejaskan kerancakan kempen calon dan parti yang bertanding.

Sudah pasti, mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk beramah mesra secara bersemuka dengan lebih ramai pengundi bagi menyelami permasalahan yang dialami penduduk terutamanya di kawasan masing-masing.

Ini kerana kaedah kempen bertemu secara terus dengan pengundi dilihat lebih berkesan dan dekat dengan rakyat berbanding secara dalam talian.

Bagaimanapun, dalam keghairahan berkempen, calon mahupun orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat serta amaran cuaca melalui saluran portal-portal berita, media sosial, televisyen dan laman sosial rasmi MetMalaysia.