Melaka United diarah bayar tunggakan gaji pemain

in Sukan by

Noor Azman – Foto FB FAM

PENGURUSAN Melaka United FC diarahkan untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dalam tempoh segera.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman.

Beliau berkata, Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC) yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Abd Shukor Ahmad Mat telah bermesyuarat minggu lepas.

“Bagi laporan daripada pemain Melaka United memang telah dibawa ke NDRC, saya rasa mereka bermesyuarat pada minggu lepas.

“Ada lebih kurang 18 pemain yang membuat aduan. NDRC meminta pemain-pemain tersebut dibayar oleh Melaka United,” ujar Noor Azman.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Keenam bagi Penggal 2021-25 di Wisma FAM, Petaling Jaya pada Isnin.

Melaka United bergelut dengan masalah kewangan sehingga gagal membayar gaji pemain pada musim ini dan isu tersebut memuncak pada penghujung saingan Liga Super.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini menolak rayuan Melaka United untuk mendapatkan lesen kebangsaan ekoran kegagalan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan.

Turut tersingkir daripada saingan Liga Super ialah Sarawak United FC walaupun tempoh seminggu diberikan badan First Instance Body (FIB) untuk kedua-dua pasukan itu menyerahkan dokumen berkaitan.

NDRC telah diperkenalkan pada tahun 2019 bagi membela nasib pemain profesional tempatan yang terkesan dengan masalah seperti tunggakan gaji.