'Najib kecewa perpecahan BN di Arau'- Nooryana Najwa

in Politik by

Nooryana Najwa Najib (tengah) turun ke Perlis bagi membantu BN berkempen pada PRU15.

ARAU – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara khusus meminta anaknya, Nooryana Najwa supaya menjadikan Perlis sebagai lokasi pertama berkempen bagi membantu kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Nooryana Najwa, bekas Pengerusi BN itu melahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa Parlimen Arau.

“Semasa saya berjumpa Datuk Seri Najib, beliau meluahkan rasa kecewa dengan apa yang terjadi di Parlimen Arau ini. Ini kerana beliau tidak suka mendengar berita perpecahan di dalam parti.

“Ingat ya Datuk Seri Najib dalam waktu kesusahan kena hadapi kes-kes mahkamah dan sekarang pun dalam penjara, beliau tidak pernah membelakangkan parti sama sekali.

“Baliau sentiasa mempertahankan parti sebab beliau percaya, apa yang kita nikmat semua ini adalah kerana parti. Kita dapat jawatan, jadi menteri, jadi menteri besar dan dapat bantu kawasan itu semua kerana parti,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Hadir sama calon BN bagi DUN Pauh, Syed Atif Syed Abu Bakar.

Terdahulu, Parlimen Arau menjadi tumpuan selepas penyandangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim tampil sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan kerusi itu selepas tidak dicalonkan BN.

Ahli perniagaan yang juga bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman telah dipilih sebagai calon BN.

Nooryana Najwa berkata, bekas Pengerusi BN itu amat berharap jentera pilihan raya parti itu akan bersatu dan memberi tumpuan kepada kempen PRU15 ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, bapanya berasa bangga dengan keputusan BN menampilkan muka-muka baharu yang terdiri daripada golongan profesional.

“Beliau berasa bangga kerana terdapat ramai juga calon yang terdiri daripada golongan profesional dan muka baru yang ditampilkan parti. Beliau rasa ini bagus untuk parti terutamanya untuk memikat hati pengundi muda.

“Pesanan Datuk Seri Najib supaya kita kerja keras dan harus membela nasib rakyat dengan sepenuhnya dan BN sajalah yang mampu memberi kestabilan kepada negara.

“Kita dah lihat selama empat tahun telah berlalu membazirkan masa dengan kerajaan yang lemah. Jadi kita kena adakan mandat yang besar dan kukuh, supaya kami boleh maju ke depan bagi menjamin masa depan yang cerah terutamanya kepada pengundi-pengundi muda kita,” ujarnya.