PRU15: Anwar isytihar harta bernilai RM11.2 juta

in Nasional by

Anwar- Foto Bernama.

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM11.2 juta.

Sebahagian besar daripada aset beliau iaitu RM10.4 juta adalah daripada pemilikan empat unit hartanah yang dibeli antara tahun 2005 hingga 2022.

Antara aset hartanah dimilikinya adalah sebuah tanah berserta rumah yang terletak di Segambut Dalam, Kuala Lumpur bernilai RM9 juta yang dibeli pada tahun 2005 secara tunai pada ketika itu dengan harga RM4 juta.

Menurut dokumen tersebut yang merekodkan pengisytiharan harta setakat 31 Oktober lalu, pembelian hartanah itu dibuat hasil daripada jualan rumah di Jalan Setiamurni 1 Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Tiga lagi aset hartanah dimilikinya adalah unit tanah di Port Dickson, Negeri Sembilan bernilai RM1 juta; tanah di Bentong, Pahang (RM300,000); tanah di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (RM50,000).

Sementara itu, jumlah keseluruhan aset tunai dan simpanan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) antaranya di institusi kewangan dan akaun pelaburan adalah bernilai RM828,668.

Anwar yang merupakan penyandang Ahli Parlimen Port Dickson mempunyai pendapatan sebagai wakil rakyat berjumlah RM21,756.

Menerusi dokumen tersebut, beliau yang juga merupakan calon PH bagi Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini direkodkan tidak memiliki sebarang aset dalam bentuk kenderaan, barang kemas dan karya seni serta komitmen hutang.

PKR menetapkan supaya setiap calon yang mewakili parti itu dalam PRU15 untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

Anwar sebelum ini pernah mengisytiharkan hartanya yang ketika itu bernilai RM10.7 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada tahun 2019.

Kerajaan pada ketika itu meminta anggota kabinet dan Ahli Parlimen PH melaksanakan langkah mengisytiharkan harta.