Tawfik pastikan tiada laluan mudah Zahid jadi perdana menteri

in Politik by

BAGAN DATUK – Calon bebas yang menggunakan simbol kunci, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail, 71 tahun tidak akan memberi laluan mudah buat penyandang Parlimen Bagan Datuk kembali memenangi kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, beliau sanggup beradu kekuatan kerana disebabkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu menpertahankan kerusinya dan bertanding di sini.

“Pertama kali saya bertanding sebab Zahid ada kat sini. Beliau berhadapan dengan beberapa masalah dalam mahkamah dan kes rasuah.

“Saya rasa kita tak boleh memberi laluan mudah kepada Zahid Hamidi untuk menang dan mungkin menjadi perdana menteri atas tuduhan yang dihadapi beliau.

“Jangan biarkan Zahid naik ke tempat yang tertinggi dalam Malaysia ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mohamed Tawfik yang turut mencuba nasib merebut kerusi Parlimen Bagan Datuk pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut, Johor di bawah BN pada tahun 1986 berharap pengundi dapat tahu apakah tujuan sebenarnya beliau bertanding kali ini.

“Pada saya penjuru-penjuru lain yang bertanding pun ada pengalaman dan kebaikan sendiri.

“Saya tak boleh sentuh secara peribadi apa yang mereka percaya, tapi tujuan saya tepat (bertanding) pada masa sekarang ini,” ujarnya lagi.

Parlimen Bagan Datuk memperlihatkan saingan empat penjuru apabila Zahid Hamidi, 69, dicabar oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin, 47, daripada Pakatan Harapan (PH) dan Dr Muhammad Faiz Na’aman, 39, dari Perikatan Nasional (PN) dan Mohamed Tawfik.