UMNO nafi dakwaan BN, PH kerjasama bentuk kerajaan

in Politik by

Datuk Seri Mahdzir Khalid

PADANG TERAP – Dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa BN akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tidak benar.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tuduhan tersebut hanya satu andaian dengan tujuan untuk memberi gambaran yang salah kepada pengundi terhadap BN dalam kempen PRU kali ini.

Beliau yang juga calon BN kerusi Parlimen Padang Terap menafikan perancangan gabungan tersebut sekiranya BN gagal mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Tan Sri Muhyiddin memberi ucapan atau kenyataan itu (sebenarnya) boleh memberi kesan BN, orang Melayu rata-ratanya takut dengan perkataan DAP. Jadi lebih baik tak payah bagi undi kepada BN sebab BN nak bekerjasama dengan PH dan itu memberi gambaran yang salah kepada masyarakat.

“Tak pernah ada pun di mana-mana kenyataan (pimpinan) BN malah dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini pun sebut ‘no DAP no Anwar’ jadi maknanya kita sudah memberi satu petunjuk yang jelas, soal-soal nak bergabung tak timbul,” katanya pada sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas laporan media sebelum ini melaporkan Muhyiddin berkata, ada kemungkinan wujud kerjasama antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU15 bagi membentuk kerajaan.

Terdahulu, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar hadir pada Majlis Sembang Santai Bersama Ahli Koperasi Peserta FELCRA Berhad di Pusat Komuniti, Padang Kerasak, dekat sini.

Jelas beliau, BN juga tidak pernah mengadakan perbincangan mengenai kerjasama tersebut bersama PH.

“Kita lawan dululah, kita ada banyak gabungan parti yang masuk sekarang, PN, PH, Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), saya ingat kita pergilah berkempen secara berhemah bawakan kita punya naratif dan optik yang betul kepada rakyat.

“BN sediakan manifesto yang praktikal, yang kedua, kita menyediakan seseorang yang menjadi Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jadi kita serahkan kepada rakyat kita yang pelbagai kaum,” ujar beliau lagi.