UPKK 2022: Calon terkesan pindaan tarikh boleh kemuka rayuan

in Nasional by

Ibu bapa calon UPKK 2022 yang terjejas ekoran pindaan tarikh ujian boleh mengemukakan rayuan kepada agensi pelaksana terlibat.
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Selasa menyeru ibu bapa dan penjaga kepada calon Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2022 yang terjejas ekoran pindaan tarikh ujian untuk mengemukakan rayuan kepada agensi pelaksana terlibat.

Pada 27 Oktober lepas, jabatan itu mengumumkan pindaan tarikh pelaksanaan UPKK (Bertulis) yang dijadualkan pada 14 hingga 17 November depan kepada 28 November hingga 1 Disember berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya telah menerima maklum balas daripada ibu bapa dan penjaga berkenaan calon UPKK 2022 yang terkesan dan tidak memungkinkan mereka menduduki peperiksaan.

“Jakim bersetuju menguar-uarkan kepada ibu bapa/penjaga untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen sokongan yang berkaitan kepada agensi pelaksana (pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang dipertanggungjawabkan bagi pelaksanaan KAFA di negeri berkenaan) yang menguruskan peperiksaan UPKK sebelum 15 November 2022.

“Keputusan rayuan akan dimaklumkan oleh agensi pelaksana kepada calon yang berkenaan sahaja,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hakimah turut menegaskan Jakim sentiasa prihatin dengan keputusan yang telah ditetapkan dan menghargai komitmen semua pihak terhadap keadilan kepada calon UPKK 2022. – Bernama