Bas Smart Selangor bantu lancar perjalanan pengguna LRT

in Edisi by

Bas Smart Selangor memulakan perkhidmatan di lokasi tumpuan utama pada Khamis bagi melancarkan perjalanan pengguna.

SHAH ALAM – Bas Smart Selangor memulakan perkhidmatan di lokasi tumpuan utama pada Khamis bagi melancarkan perjalanan pengguna berikutan gangguan sistem perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu selaras pengumuman kerajaan negeri pada Rabu yang menyediakan 20 bas bagi menampung keperluan orang ramai selepas operasi 16 stesen ditutup.

“Selaras dengan pengumuman semalam di mana kerajaan negeri Selangor menyediakan 20 buah bas utk membantu meringankan beban pengguna LRT, pagi ini telah memulakan perkhidmatan di beberapa buah lokasi utama,” kata Amirudin dalam satu catatannya di laman Facebooknya pada Khamis.

Pada Rabu, kerajaan negeri menyediakan 20 Bas Smart Selangor bagi membantu ribuan pengguna berikutan gangguan sistem perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Sebelum itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung selama tujuh hari mulai Rabu susulan sistem kawalan tren automatik yang tidak stabil.