'Bukan hanya risau keselamatan, banyak harta benda rosak'

in Edisi by

Tangkap layar video dikongsi Zulkairin Ahmad Pamek Fahmi berkongsi sebuah video memaparkan keadaan banjir didakwa berlaku di SK Meru, Klang yang kemudiannya menjadi tular.

SHAH ALAM – Penduduk terjejas banjir kilat di sekitar Meru di sini bukan hanya risau akan keselamatan ahli keluarga, bencana itu juga dilihat merosakkan banyak harta benda.

Penduduk terutamanya mangsa banjir kilat terbabit amat berharap permasalahan yang sekian lama menghantui mereka itu dapat diselesaikan dengan cara yang berkesan.

Dakwa Izza Howzin, selain kerana faktor air laut pasang besar, sistem perparitan tidak sempurna menyebabkan aliran air terganggu dan dipercayai menjadi punca utama bencana.

Menurutnya, ia dibuktikan apabila kawasan tidak dinaiki air sebelum ini seperti Batu 7 dan Jalan Nenas turut banjir selepas hujan lebat melanda kawasan itu dalam tempoh beberapa jam.

“Di Taman Sri Puteri, Meru pun begitu, sebelum ini kawasan ini hanya dinaiki air apabila banjir besar hujung tahun lalu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Pamek Fahmi berkongsi sebuah video memaparkan keadaan banjir didakwa berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Klang yang kemudiannya menjadi tular.

**media[1978090]**

Sebuah lagi video dikongsi Zulkairin Ahmad pula memaparkan sebuah kenderaan awam jenis Proton Wira terperangkap di Persimpangan Jalan Paip dari Jalan Budiman akibat banjir kilat.

Kedua dua video terbabit mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial itu termasuk ramai yang meminta pihak berkuasa tempatan mencari jalan mengatasi masalah berkenaan.

Video berkenaan kemudiannya dikongsi portal-portal berita dari pelbagai agensi.

Pada Khamis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan sebanyak lapan kawasan di sekitar Meru dilanda banjir kilat berikutan hujan tanpa henti sejak 3 petang.

Pengarahnya, Norazam Khamis turut dilaporkan berkata, lapan kawasan itu ialah di Meru 3, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Kasban, Jalan Kenangan dan Taman Daya.

Ujarnya, selain itu air juga melimpah di Jalan Khamis, Jalan Jabar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru.

Menurut Norazam, banjir kilat itu mencatatkan kedalaman 0.3 meter, bagaimanapun air semakin surut dan keadaan hujan semakin reda.

“Sehingga kini tiada pemindahan dilakukan dan pihak bomba sedang memantau lokasi banjir dari semasa ke semasa,” kata beliau.