Lorong Rakyat tarikan baharu di Perlis

in Edisi by

Tuanku Syed Faizuddin (empat dari kanan) dan Suriani (empat dari kiri) di hadapan Lorong Rakyat yang akan menjadi tarikan baharu pengunjung ke Perlis.

KUALA PERLIS – Lorong Rakyat yang merupakan inisiatif penjenamaan Bank Rakyat di Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai mampu menarik lebih ramai pengunjung ke destinasi berkenaan yang semakin terkenal dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.

Inisiatif Lorong Rakyat tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis pelancaran yang dianjurkan oleh Bank Rakyat di kampung berkenaan baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Datuk Suriani Ahmad berkata, pelbagai program direncanakan sepanjang majlis tersebut berlangsung, termasuk pertandingan mewarna Kelab Nuri melibatkan 50 kanak-kanak dari Tabika Kemas Kuala Perlis, Tadika Islam Perlis Seberang Ramai dan prasekolah Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai.

“Turut diadakan program penyerahan kelengkapan persekolahan Kelab Nuri iaitu beg sekolah dan set pakaian lengkap seperti tudung, baju, seluar, stoking serta kasut melibatkan seramai 350 murid dari empat sekolah di sekitar Perlis.

“Inisiatif ini adalah bagi meringankan beban ibu bapa murid B40 dalam menguruskan perbelanjaan sekolah anak masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Suriani berkata, Bank Rakyat turut menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2021 sebanyak RM228,465 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk diagihkan kepada asnaf yang memerlukan di negeri Perlis.

Sejak 2010, Bank Rakyat telah menunaikan zakat perniagaan kepada negeri Perlis sebanyak RM4.1 juta.

“Pada hari yang sama, Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat turut menyertai aktiviti berbasikal amal Kayuhan MAIPs Peduli yang diketuai Tuanku Syed Faizuddin di sekitar Pauh.

“Sebagai agensi di bawah Kuskop, Bank Rakyat sentiasa mengambil pelbagai pendekatan baharu dalam meneruskan usaha jangkauan komunitinya bagi membantu usahawan, koperasi serta masyarakat secara menyeluruh.

“Ini termasuklah dengan menyediakan platform pemasaran kepada usahawan yang dibimbing menerusi program RAKYATpreneur di Perlis yang dijemput untuk memeriahkan program sepanjang majlis pelancaran tersebut berlangsung,” kata Suriani.

Hadir sama pada program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff; Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani serta Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak.

Antara aktiviti penjenamaan dan pengindahan lain yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat termasuk melaksanakan aktiviti mengecat 16 buah rumah secara gotong-royong di sekitar kampung bersama warga kerja cawangan Bank Rakyat serta penduduk kampung dengan kerjasama MAIPs menerusi program kesukarelawanan BaktiRAKYAT Bank Rakyat.

Selain itu, inisiatif Kebun Nuri Nutrisi Bank Rakyat turut dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu penduduk kampung dalam kalangan B40 menjana pendapatan secara lestari dengan menguruskan tanaman yang mana hasilnya boleh dijual, sekali gus meningkatkan ekonomi mereka selain menjamin sekuriti makanan.