LRT tergendala: Bas perantara kurangkan masa menunggu

in Nasional by

Laporan Sinar Harian.

KUALA LUMPUR – Penambahan perkhidmatan bas perantara bermula dari jam 6 pagi pada Khamis membantu mengurangkan kesesakan serta masa menunggu pengguna untuk menaiki bas susulan penutupan 16 stesen tren Transit Aliran Ringan (LRT) antara Kelana Jaya dan Ampang Park sejak Rabu.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan malam Khamis memaklumkan, bas perantara itu merupakan langkah tambahan diambil pihak Rapid KL dan digerakkan di stesen-stesen sepanjang laluan LRT Kelana Jaya bagi membantu mengawal pergerakan serta memberi arah kepada penumpang yang terjejas.

“Sejumlah 107 bas perantara merangkumi lima laluan digunakan hari ini terdiri daripada bas Rapid KL serta bas Smart Selangor dan MARA Liner.

“Setakat jam 5.30 petang ini, situasi di stesen-stesen terkawal, dibantu anggota polis bantuan dan kakitangan Prasarana (Malaysia Bhd) yang ditambah untuk memantapkan kawalan pergerakan penumpang,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Rapid Rail memaklumkan pasukan kejuruteraan pihaknya bersama pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group telah menjalankan ujian bagi menentukan kestabilan sistem.

“Bermula jam 10 malam semalam hingga 5 pagi ini, pihak Rapid Rail menjalankan ujian pergerakan tren LRT Laluan Kelana Jaya antara stesen Ampang Park dan Stesen KLCC.

“Ujian ini akan dipanjangkan untuk merangkumi keseluruhan jajaran LRT Laluan Kelana Jaya,” katanya. – Bernama