Mangsa banjir kilat berhak terima pampasan

in Edisi Johor by

Mohd AdnanAntara kerosakan perkakas di sebuah rumah di Kampung Kunia, akibat banjir kilat berkenaan.

JOHOR BAHRU – Ketua Kampung Kurnia, Mohd Adnan Salka menyifatkan kesemua mangsa banjir kilat melibatkan Jalan Oleh-Oleh dan Jalan Kurniawati di kampung berkenaan Isnin lalu, berhak menerima pampasan atas kerosakan yang dialami.

Menurutnya, pampasan berkenaan berhak diterima penduduk setelah banjir kilat berkenaan dikenal pasti berpunca akibat projek pembinaan landasan keretapi Sistem Transit Rapid (RTS), berhampiran kawasan berkenaan.

“Semalam (Rabu), kita dah bermesyuarat dengan pihak YTL (kontraktor) dan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selain turut melawat ke landasan berkenaan dan kita dapati memang banyak batu dan pasir di kawasan pembinaan, jadi ia membuatkan aliran air ‘terganggu.’

“Oleh itu mereka (kontraktor) akan menjalankan kerja-kerja pembersihan di sepanjang tapak pembinaan landasan itu lokasi banjir dan kerja-kerja pembersihan akan dijalankan di sepanjang landasan berkenaan.

“Pihak kontraktor turut berkata, mereka bakal membina tembok sebagaimana yang telah dijanjikan dahulu manakala pihak MBJB pula menjalankan tugas dengan mengorek dan mengeluarkan sisa-sisa batu di parit besar di sini, mulai minggu hadapan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Isnin lalu sebanyak 15 rumah dilaporkan terjejas akibat banjir kilat di Kampung Kurnia melibatkan Jalan Oleh-Oleh dan Jalan Kurniawati.

Bagaimanapun, tindakan pantas sukarelawan telah membantu melancarkan kerja-kerja pembersihan rumah yang dinaiki air.

Malah ada rumah yang dilaporkan dinaiki air sehingga ke paras pinggang hingga menyebabkan kerosakan pada perkakas rumah.

Sementara itu Mohd Adnan berkata, pihaknya turut mempelawa lima keluarga dari lima rumah yang terjejas akibat banjir kilat berkenaan, untuk menumpang buat sementara waktu di dewan berhampiran.

**media[1977782]**

Namun, pelawaannya itu ditolak apabila kesemua keluarga berkenaan menyifatkan mereka lebih selesa berada di rumah sendiri.

“Pada malam kejadian juga, saya pelawa mereka ke dewan berhampiran, tetapi mereka menolak dan mahu berada di rumah dan membersihkan rumah yang dinaiki air.

“Apa pun kita lega kerana banjir kilat ini tidak sampai ke tahap terpaksa dibuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.