Perlu ada alternatif sistem OPR

in Pojok by

Gambar hiasan

SEPERTI tiada kesudahan apabila memperkatakan tentang kadar dasar semalaman (OPR) yang semakin merunsingkan golongan pendapatan sederhana (M40) dan pendapatan rendah (B40).

Terbaharu, penganalisis perbankan terkemuka dunia menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan OPR kepada 3.25 peratus menjelang pertengahan tahun hadapan berbanding 2.75 peratus sekarang.

Jika benar, kenaikan kepada 3.25 peratus itu adalah lebih tinggi berbanding paras sebelum pandemik iaitu 3.00 peratus.

Melihat dari perspektif yang lebih besar, apa yang berlaku dalam hal-ehwal kewangan domestik ini adalah kesan selepas pandemik Covid-19 yang membabitkan aliran kewangan global yang semakin tidak menentu.

Malah, ada penganalisis menterjemahkan situasi ini adalah disebabkan kegagalan mencapai nilai solidariti atau nilai setiakawan antara negara kuasa besar itu sendiri.

Ini kerana dasar luar negara kuasa Barat tidak sepakat dan seperti ada persaingan dalam geopolitik dalam pelbagai aspek.

Situasi ini mengheret kepada gangguan rantaian bekalan atau kekurangan bekalan dalam aliran perdagangan global. Ini juga antara punca kos perdagangan menjadi semakin tinggi sehingga pergerakan inflasi meningkat.

Inflasi wujud bukan kerana kenaikan gaji kelas pekerja atau peredaran wang yang besar di pasaran tetapi akibat gangguan rantaian bekalan.

Dalam hal ini, pendekatan segera kerajaan bagi membantu rakyat adalah dengan terus mengukuhkan penguatkuasaan harga barang dan pengkhususan hasil produksi dalam negara.

Pendekatan campur tangan dari segi kitaran bekalan sangat diperlukan sama ada barang keperluan dan perkhidmatan.

Pihak bank pula perlulah mencari mekanisme terbaik dalam mengurus kenaikan OPR menerusi perubahan dalam struktur sistem kewangan di Malaysia. Janganlah terlalu berkiblatkan dasar monetari global yang pernah gagal pada 1929 dan 1998.

Risiko kredit yang ditanggung oleh individu atau peminjam boleh mengheret kepada risiko yang lebih besar kepada institusi perbankan negara.

Kita tidak mahu terjerumus dalam krisis kewangan sehingga mengundang kritikan kononnya perbankan kita tidak berhemah dan bersifat menindas pelanggan.

Sama-samalah kita mencari pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif dalam membina kehidupan yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat dan negara.