PRU15: Jurusolek, podiatrist antara calon Warisan di Perak

in Politik by

Mi Suet (tiga dari kiri) mahu membuktikan dirinya mampu menyumbang bakti kepada orang ramai. – Foto Facebook Hooi Mi Suet

IPOH – Jurusolek profesional, Hooi Mi Suet antara calon yang ditampilkan Parti Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anak jati Perak berusia 29 tahun yang juga Ketua Wirawati Negeri Perak itu berkata, beliau menyertai politik bagi membawa suara anak muda dan kelompok pekerja serta membantu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

“Ada sesetengah pihak yang mempersoal (kaitan) pekerjaan saya dan politik, bagi saya ini bukan satu masalah kerana yang penting adalah kita berkhidmat untuk orang ramai.

“Kita perlu berbuat sesuatu bukan hanya janji kosong, bukan untuk meninggi diri atau mengejar populariti. Saya sertai politik kerana anak muda perlukan perwakilan dan saya faham kehendak dan keperluan mereka,” katanya kepada Bernama di sini pda Khamis.

Baru-baru ini, poster Mi Suet tular dan menjadi tumpuan menerusi media sosial kerana rupa paras beliau namun Mi Suet menyifatkan perkara tersebut sebagai cabaran bagi membuktikan dirinya mampu menyumbang bakti kepada orang ramai dengan menawarkan kudrat anak muda serta tidak bergantung kepada rupa semata-mata.

Selain Mi Suet, Warisan turut mengetengahkan calon daripada latar belakang perubatan untuk bertanding kerusi Parlimen Gopeng iaitu seorang podiatrist (pakar perubatan dalam bidang rawatan tapak kaki, buku lali dan struktur berkaitan kaki), Dr G Balachandran.

Berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang itu, Dr Balachandran, 45, yang dibesarkan di Batu Gajah mempunyai matlamat melaksanakan perubahan dari segi pembangunan di Gopeng dengan menyediakan fasiliti perubatan, bertujuan menjadikan kawasan tersebut hab bagi sektor kesihatan sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat.

“Untuk Gopeng berubah wajah daripada pekan (kepada bandar), kita perlu ada sistem perubatan yang lebih canggih maka lebih ramai akan datang dan kawasan itu akan berkembang, contohnya pusat dialisis dan pusat (rawatan) diabetes.

“Dengan adanya pusat-pusat ini, (ia) dapat membantu Gopeng berkembang. Saya ingin membawa perubahan ini kerana sudah sekian lama tiada sebarang perubahan ketara dalam membangunkan kawasan itu dan (seterusnya) memastikan kebajikan rakyat dijaga,” katanya.

Dr Balachandran bakal berdepan Muhammad Farhan Abdul Rahim (PN-Bersatu), Cally Ting (BN-MCA), Tan Kar Hing (PH-PKR) untuk Parlimen Gopeng manakala DUN Simpang Pulai menyaksikan pertandingan empat penjuru antara K Selvam (PN), Dr Wayne Lee (BN-MCA), Wong Chai Yi (PH-PKR) dan Mi Suet.

Parti Warisan bertanding empat kerusi Parlimen iaitu Kampar, Gopeng, Tapah dan Lumut manakala lapan kerusi DUN yang bakal ditandingi ialah Malim Nawar, Sungai Rapat, Teja, Simpang Pulai, Chenderiang, Ayer Kuning, Pasir Panjang serta Pangkor. – Bernama