PRU15: PH hanya nak tunjuk hero isytihar harta – Hamzah

in Politik by

Hamzah menyerahkan jaket PN kepada petugas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sungai Jernih.

LARUT – Pakatan Harapan (PH) hanya mahu menunjukkan kepada umum bahawa parti itu hero politik apabila mengambil pendekatan mengisytiharkan harta masing-masing.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, hakikatnya tindakan mengisytihar harta itu telah didahului pimpinan PN semasa lantikan sebagai anggota kabinet.

Malah menurutnya, bersama BN dahulu, pendekatan isytihar harta turut dilakukan, hanya perkara itu tidak didedahkan kepada umum seperti sekarang.

“Jadi tak payahlah nak tunjuk hero kali ini, sedangkan kita sudah lakukan lama dulu.

“Kalau mereka isytihar harta sekarang, bermakna mereka yang mengikut kita yang telahpun isytihar harta terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui dalam program bersama masyarakat Kampung Sungai Jernih, Kubu Gajah di sini pada Khamis.

Beliau mengulas selepas ditanya sama ada PN akan mengikut langkah pemimpin PH terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pengisytiharan harta.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilapor berkata, setiap calon parti pada PRU15 perlu berbuat demikian bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.

Langkah itu juga dikatakan akan menimbulkan keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya dan institusi yang mereka berkhidmat sekiranya calon itu mula memegang jawatan.

Mengulas lanjut, penyandang kerusi Parlimen Larut berkata, semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, semua lantikan menteri dan timbalan menteri termasuk dirinya telahpun melakukan pengisytiharan harta.

“Ketika itu, kita isytiharkan semua harta-harta pemegang jawatan. Jadi tak perlulah politikkan perkara ini.

“Buat apa nak isytihar harta kalau sengaja nak sedapkan masa kempen sahaja,” katanya.