Rajagobal, Cheng Hoe pilih Brazil juara Piala Dunia

in Sukan by

Cheng Hoe. – Foto AgensiRajagobal ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Bola Rasmi Piala Dunia 2022 Qatar Adidas Al-Rihla di Petaling Jaya pada Khamis. – Foto Bernama

BEKAS jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal dan Tan Cheng Hoe yakin Brazil mampu menamatkan penantian 20 tahun untuk muncul juara Piala Dunia 2022 di Qatar bermula 20 November hingga 18 Disember ini.

Rajagobal selaku peminat tegar skuad Samba berkata, dalam bola sepak pelbagai situasi di luar jangka boleh berlaku apatah lagi di pentas berprestij seperti Piala Dunia.

“Mana-mana pasukan yang bagus boleh muncul juara (Piala Dunia) tapi pasukan pilihan saya adalah Brazil,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran jeyarawara bola rasmi perlawanan Piala Dunia di Sunway Pyramid di Petaling Jaya pada Khamis.

Brazil muncul pasukan paling berjaya dalam kempen Piala Dunia dengan lima gelaran juara.

Kali terakhir Brazil menjulang Piala Dunia pada edisi 2002 ketika Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah, menewaskan Jerman 2-0 pada aksi final.

Pada edisi Qatar 2022, The Selecao diundi dalam Kumpulan G bersama Serbia, Switzerland dan Cameroon.

Pengendali Selangor, Cheng Hoe yang bersetuju dengan Rajagobal berkata Brazil merupakan pasukan yang beruntung kerana memiliki ramai pemain berbakat dalam skuad terakhir mereka.

**media[1977807]**

Antara barisan pemain dipanggil pengurus pasukan Tite, untuk beraksi di Qatar adalah Neymar Jr (Paris Saint-Germain), Vinicius Junior (Real Madrid), Gabriel Jesus (Arsenal), Casemiro (Manchester United), Thiago Silva (Chelsea) dan Alisson Becker (Liverpool).

Sementara itu, Pengurus Adidas Malaysia Sharmin Photographer berkata jeyarawara yang dianjurkan bersama Al-Ikhsan Sports itu mengembalikan nostalgia bola Piala Dunia sejak edisi 1970 sehingga bola perlawanan terkini, Al Rihla, yang akan digunakan di Qatar.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Vach Pillutla berkata pihaknya sangat teruja dapat bekerjasama dengan Adidas Malaysia untuk menganjurkan acara berkenaan sempena Piala Dunia 2022.

Selain Sunway Pyramid, jeyarawara berkenaan turut diadalah di KTCC Mall, Terengganu (24-27 November); Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang (30 November-4 Disember); Mid Valley Southkey, Johor (7-11 Disember) dan Mahkota Parade, Melaka (15-18 Disember). – Bernama