Desak segerakan projek mitigasi banjir

in Edisi by

Hasbie (enam dari kanan) bersama jentera Ops Sedia berdepan banjir di daerah Temerloh.

TEMERLOH – Langkah pertama jika memenangi kerusi Parlimen Temerloh, calon Pakatan Harapan (PH), Hasbie Muda, 35, akan mendesak supaya Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Semantan Fasa 1 Pahang disegerakan untuk mengatasi masalah banjir di daerah tersebut.

Menurutnya, projek itu perlu disegerakan demi kepentingan rakyat di daerah terbabit yang telah berdepan banyak kerugian selama ini akibat banjir.

“Untuk makluman di bawah Ahli Parlimen, Datuk Wira Anuar Tahir sebelum ini telah diluluskan projek mitigasi banjir tapi belum dimulakan.

“Jadi kita akan mendesak supaya disegerakan kerana banjir boleh berlaku bila-bila masa, kita dah bazir beberapa tahun sebab selepas Langkah Sheraton, projek itu ditangguhkan,” katanya lagi.

Beliau berkata sedemikian sempena pelancaran jentera Ops Sedia bagi berdepan banjir di sini pada Jumaat.

Ujar Hasbie lagi, buat masa ini, projek tersebut yang bernilai RM58.4 juta itu masih di peringkat reka bentuk.

“Ini perkara menyedihkan sepatutnya projek yang diluluskan pada 2018 disegerakan oleh kerajaan.Malangnya di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Keluarga Malaysia, projek ini belum bermula,” dakwa beliau.

Dalam pada itu, Hasbie yang juga Ketua Pemuda Amanah memberitahu, jentera Ops Sedia tersebut telah berjaya mengumpulkan lebih 100 sukarelawan dan jumlah tersebut akan ditingkatkan untuk siap siaga berdepan banjir di Parlimen Temerloh dan Kuala Krau.