KKM buat pemeriksaan kesihatan percuma untuk warga Karangkraf

in Nasional by

Ujian yang dijalankan termasuk menyemak kandungan gula dan kolesterol dalam darah, tekanan darah serta ukuran BMI.Warga kerja Kumpulan Karangkraf mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma di bangunan Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan saringan kesihatan secara percuma kepada warga Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd sejajar dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) 2022 Daerah Petaling, Selangor.

Pegawai perubatan KKM, Dr Tengku Marina Tengku Mahmood berkata, ujian yang dijalankan termasuk membuat pemeriksaan percuma bagi menyemak kandungan gula dan kolesterol dalam darah, tekanan darah dan ukuran indeks jisim tubuh badan (BMI).

Menurutnya, selain itu, KKM melalui Klinik Kesihatan Shah Alam (Seksyen 7) turut menawarkan pemeriksaan mengesan kanser pangkal rahim (serviks) dan virus papilloma manusia (HPV) menggunakan teknik terkini untuk staf wanita.

“Saringan yang dilakukan hari ini turut menyasarkan warga kerja Karangkraf yang berumur 30 tahun ke atas dan tiada sejarah penyakit darah tinggi dan diabetes.

**media[1979061]**

“Apabila sudah disaring dan jika petugas mendapati mereka mempunyai simptom penyakit tertentu, kita akan rujuk kepada klinik berdekatan untuk rawatan susulan.

“Kita juga buka reruai fisioterapi untuk menjalankan aktiviti kecergasan dan farmasi bagi mengendalikan ubat-ubatan secara umum,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Ujar Dr Tengku Marina, KKM menyasarkan untuk menyaring seramai 64,000 penduduk di daerah Petaling bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini.

“Sebelum ini kita pergi kepada beberapa agensi, sekolah dan kem kesihatan di luar bertujuan menyaring seramai mungkin komuniti. Buat masa ini, hanya 20,000 orang sahaja (yang disaring),” jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Tugas Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang berkata, kebanyakan pekerja syarikat itu terutamanya petugas media berdepan kekangan masa untuk menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan lebih-lebih lagi pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Program ini sangat dialu-alukan kerana di sini kita ada ramai staf dan petugas media yang mempunyai jadual waktu bertugas, makan dan tidur yang tidak menentu.

“Bagaimana sibuk sekalipun, kita tidak boleh abaikan kesihatan, jadi saya berharap supaya warga Karangkraf mahupun seluruh komuniti sedar akan kepentingan rawatan pemeriksaan secara berkala,” jelasnya.

Menurut Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin, kerjasama antara syarikat dan KKM itu bertujuan memastikan tahap kesihatan pekerja berada dalam keadaan baik.

“Kita mahu seluruh warga Karangkraf sihat supaya mereka dapat mengoptimumkan kualiti kerja.

“Terutamanya dalam tempoh menuju PRU15, memang tidak ada masa untuk buat saringan kesihatan diri, jadi kami bawa klinik tersebut ke sini,” ujarnya.