PJ City sah tarik diri dari Liga-M

in Sukan by

Subahan (tengah) bersama Ganesh (kanan) pada sidang akhbar yang berlangsung di Menara QI pada Jumaat.

TEKA-teki sama ada Petaling Jaya (PJ) City akan bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan akhirnya terjawab apabila kelab itu mengumumkan tidak akan bertanding.

Perkembangan itu diumumkan sendiri Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal sambil memaklumkan punca kelab itu menarik diri tidak ada kaitan dengan masalah kewangan.

Sebaliknya beliau mendedahkan, punca sebenar mereka menarik diri adalah disebabkan pasukan tidak mampu menyesuaikan diri dengan penstrukturan liga musim depan yang diumumkan sebelum ini.

“Melihat kepada situasi dan perubahan yang akan dibuat dalam saingan liga pada musim depan, saya rasa agak sukar untuk kami PJ City mengambil bahagian.

“Bayangkan pada musim ini kalau lima import kami sudah bergelut, inikan pula untuk musim depan yang mana bilangannya akan bertambah. Selain itu ada perkara lain yang kami fikir tidak sesuai dan di luar kemampuan kami.

“Jangan salah faham, kami hormat dengan keputusan yang dibuat oleh badan pengelola liga sebelum ini kerana saya yakin mereka tahu apa yang terbaik buat bola sepak kita. Cuma kami tidak mampu untuk menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.

“Bagaimanapun kami tetap menyumbang sesuatu bagi pembangunan bola sepak negara, cuma dengan cara yang berbeza dan bukan seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di QI Tower Petaling jaya yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PJ City, S Ganesh.

Dalam pada itu, Subahan memberitahu pihaknya terbuka untuk berbincang sekiranya terdapat mana-mana kelab yang berminat untuk membeli pasukan tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi pemilik baharu termasuklah mereka perlu mengekalkan nama PJ City itu sendiri.

“Kita terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu untuk mengambil alih kelab ini. Kalau ada pihak yang berminat mereka boleh berhubungan dengan CEO kami bagi membincangkan perkara tersebut.

“Selepas itu, kita akan bawa perkara itu ke lihak MFL bagi tindakan selanjutnya. Bagaimanapun ada beberapa syarat yang kami letakkan bagi mereka yang mahu mengambil alih kelab ini.

“Setakat ini kami masih belum dihubungi oleh mana-mana pihak yang berminat. Jika ada kami memaklumkannya kemudian,” ujarnya.