PRU15: DAP angkuh hanya pandangan Dr Mahathir

in Politik by

Mohamad Sabu

KLANG – Kenyataan dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa DAP menjadi angkuh serta mahu menamatkan kontrak bermanfaat dengan syarikat terkemuka sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah hanya merupakan pandangan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkenaan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menjelaskan, dalam pemerintahan yang diterajui oleh Dr Mahathir pada waktu itu, sebarang keputusan telah dibuat secara bersama.

“Itu pandangan beliau. Kita telah memerintah dengan Dr Mahathir dan sebarang keputusan kita buat bersama. Bukanlah satu parti menguasai dan sebagainya. Pandangan beliau itu saya hormati tetapi semua itu berlaku dalam kabinet dan diambil tindakan bersama,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menggesa agar pengundi tidak mengundi BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) di samping turut mengkritik DAP menjadi angkuh serta mahu menamatkan kontrak bermanfaat dengan syarikat terkemuka sewaktu mereka memerintah.

Mohamad yang merupakan bekas Menteri Pertahanan sewaktu PH memerintah bagaimanapun mengakui Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dilihat ‘agak’ keras dalam menghadapi peniaga-peniaga besar yang mendapat kontrak daripada kerajaan.

Dalam pada itu katanya, calon-calon parti Amanah yang bertanding dalam PRU15 boleh mengisytiharkan harta pada bila-bila masa.

Mohamad berkata, mereka juga boleh mengisytiharkan harta selepas memenangi kerusi yang ditandingi dalam PRU15.

“Kita boleh buat bila-bila masa. (Ini) disebabkan kami tak ada (yang) jutawan pun. (Kita) tidak bimbang untuk isytihar harta,” selorohnya.