PRU15: Jangan alpa dengan Covid-19 ketika berkempen – PM

in Nasional by

Ismail Sabri melambaikan tangan selepas menghadiri program Moh Ngeteh bersama penduduk Orang Asli sempena PRU15 di Bilik Gerakan Kampung Bongkok pada Jumaat. – Foto Bernama
BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan jentera dan calon semua parti untuk berhati-hati serta tidak alpa dengan amalan pencegahan penularan Covid-19 sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, walaupun pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan, namun semua pihak digalakkan memakai pelitup muka ketika berkempen khususnya di tempat sesak bagi melindungi diri sendiri dan orang lain.

“… dalam berkempen, jangan lupa Covid-19 masih berada di sekitar kita. Kita tak tahu siapa yang sedang dijangkiti dalam kalangan kita semua. Saya berharap kita berhati-hati… sanitasikan (tangan) seperti zaman kita (berada) dalam Covid-19 dulu sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas program Moh Ngeteh bersama konuniti Orang Asli di Kampung Bongkok di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin berkata, kementeriannya akan memantau peningkatan kes Covid-19 sepanjang tempoh berkempen PRU15, selain prosedur operasi standard (SOP) pengundi yang positif, telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian manakala 15 November ditetapkan sebagai hari pengundian awal. – Bernama