PRU15: Pelawak Shahrol Shiro bantu kempen calon BN Muar

in Politik by

Shahrol Shiro

MUAR – Masuk hari ketujuh, masing-masing calon daripada parti yang bertanding menggunakan pelbagai kaedah untuk mendekati hati pengundi bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon BN di kerusi Muar, Mohd Helmy Abd Latif hari ini bersama dengan pelawak tanah air Shahrol Shiro dalam kempennya mendekati penduduk di Parit Jawa, Muar.

Shahrol atau nama sebenar, Shahrol Azizie Azmi, 38, berkata, kelebihan Helmy adalah beliau merupakan anak tempatan dan sudah dikenali penduduk di Parlimen itu.

Katanya, selepas beberapa hari berkempen di Muar, beliau melihat penerimaan pengundi di Muar semakin positif terhadap Helmy.

“Cara kerja dia juga ok. Tidak ada isu sangat di Muar,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Shahrol berkata, rakyat juga dilihat yakin dengan kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Kita lihat kempen juga semakin rancak dan pengundi di Johor semakin yakin dengan BN,” katanya.

Sementara itu, Shahrol mengajak semua pengundi termasuk golongan muda keluar mengundi pada 19 November ini.

“Ini masa depan negara dan pilih kerajaan yang bawa kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

Helmy berdepan pertandingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Muar melibatkan penyandang kerusi Parlimen itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Abdullah Husin pada PRU15 ini.