PRU15: Pembangunan realisitik, isu setempat keutamaan Rozabil

in Politik by

Rozabil (depan kanan) dan Nurulhisham (belakang kanan) mendengar permasalahan sekumpulan anak muda di pasar malam Simpang Empat, Arau pada Jumaat.

ARAU – Rancangan pembangunan realistik dan memenuhi keperluan penduduk setempat menjadi tumpuan utama calon BN Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Rozabil berkata, tiada keperluan menyenaraikan rancangan pembinaan projek-projek mega dalam agenda pembangunan kawasan disini kerana penduduk dalam kawasan Arau mahu sesuatu yang realistik untuk dilaksanakan dan memenuhi kehendak mereka.

“Apa sahaja pembangunan yang kita nak buat di Arau mestilah memberi kesan menyeluruh kepada masyarakat setempat. Saya faham dengan permintaan penduduk tempatan, terutama orang di kawasan Arau yang banyak terlibat dengan pertanian.

“Bila kita bercakap tentang pembangunan, bukan bercakap mengenai pembangunan besar-besaran. Maksud saya, kita tidak akan cakap nak bawa KLCC ke Arau tetapi lebih kepada pembangunan infrastruktur supaya mereka yang menjalankan aktiviti pertanian mendapat hasil lebih baik.

“Tidak sesuai juga pada masa ini (melaksanakan projek mega) kerana orang (penduduk) akan lebih realistik kepada apa yang mereka nak. Perkara yang akan menjadi fokus saya adalah berkaitan soal pekerjaan, ekonomi tempatan untuk peniaga-peniaga kecil dan orang yang usahakan bendang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Rozabil bersama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob melakukan program tinjauan mesra (walkabout) di pasar malam Simpang Empat, di sini.

Ketika ditanya mengenai sifat ramah dan mudah mesra pencabarnya Datuk Seri Shahidan Kassim daripada PN, Rozabil meminta penduduk khususnya pengundi di kawasan Parlimen Arau memberi peluang kepadanya terlebih dahulu pada PRU15 ini.

“Bagi peluang kepada saya, Datuk Seri (Shahidan Kassim) sudah lama di sini. Kalau beri masa kepada saya, sudah tentu saya pun akan lebih dikenali dan mesra dengan mereka.

“Malah ketika ini, saya mesra dengan semua orang dan nama ‘Tok Ben’ sudah pun dikenali oleh penduduk Arau. Beri peluang kepada saya untuk membawa pembaharuan kepada rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, pengundi muda, S Selvaganapathy, 22, menyifatkan Rozabil sebagai calon wakil rakyat yang mesra dan bersedia mendengar keluhan orang ramai.

“Ketika berjalan di pasar malam, ternampak beliau di pasar malam ini. Jadi saya bersama rakan-rakan terus mendekatinya kerana beliau nampak ‘friendly’ untuk saya berkongsi masalah keadaan gelanggang futsal Simpang Empat yang perlu dibersihkan dan dibaiki,” katanya.