PRU15: Penduduk mahu YB Seremban selesai isu banjir

in Politik by

Fadilah membersihkan rumahnya yang dipenuhi lumpur akibat banjir. Gambar kecil dari kiri: Jamaliah, IsmadiKeadaan rumah Fadilah yang dipenuhi pumpur akibat banjir

SEREMBAN – Penat terpaksa berdepan masalah banjir setiap kali hujan lebat, penduduk Kampung Gayan, Pantai di sini berharap ahli Parlimen yang akan dipilih mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15(PRU15) dapat menyelesaikan permasalahan itu.

Penduduk mendakwa masalah banjir semakin teruk membelenggu mereka sejak pembinaan Jalan Temiang-Pantai yang mendapat jolokan Jalan New Zealand itu.

Seorang penduduk yang ditemui, Jamaliah Abd Jalil, 58, berkata, sudah banyak aduan dibuat kepada pihak berwajib sebelum ini, namun seperti tiada tindakan yang diambil dan akibatnya penduduk terus merana.

“Cuba anda duduk di tempat saya, belum sempat siap berkemas, banjir lagi. Siapa yang tahan tiap-tiap tahun nak kena hadapi masalah ini.

“Saya dah buat surat aduan dan lampirkan dokumen seperti mana yang dikehendaki oleh pihak berwajib, tapi akhirnya saya diberitahu tiada peruntukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Justeru, dia sangat berharap Ahli Parlimen Seremban yang akan dipilih nanti dapat memberi keutamaan kepada isu banjir sekali gus memastikan ia tidak berulang lagi.

Jelasnya, penduduk bukannya mahu dilayan seperti raja, tapi cukuplah apabila setiap aduan rakyat itu diberi perhatian sewajarnya.

**media[1979048]**

“Kami bukannya nak YB ‘menyembah’. Tapi tolonglah selesaikan masalah banjir di kawasan pantai ini. Kami tak tahu lagi nak mengadu pada siapa.

“Hujung tahun lepas, kami tinggal sehelai sepinggang akibat musibah banjir. Kalau air setakat buku laki, tiada masalah, tapi ini sampai paras dada,” luahnya.

Selain itu, Ismadi Ismaon, 37, berkata, jalan penyelesaian secara menyeluruh perlu dilakukan membabitkan sistem perparitan di kawasan itu bagi memastikan banjir tidak berulang.

“Selagi pihak berwajib tak selesaikan masalah banjir ini secara menyeluruh, selagi itulah kami kena hadapinya.

“Mak mertua saya pun dah serik nak beli perabot baharu kerana tahu nanti akan rosak akibat banjir. Nak cuci pun bukan sehari dua, tapi berminggu-minggu,” jelasnya.

Ujarnya, pihak berwajib perlu mendalamkan sungai di kawasan itu yang dilihat semakin cetek bagi mengurangkan risiko berlaku banjir kilat.

Oleh sebab itu, ahli Parlimen yang akan dipilih mereka kali ini diharap dapat menyelesaikan itu itu dan bukannya ‘hilang’ apabila sudah menang.

Sementara itu, Fadilah Abd Jalil, 59, berkata, melihat keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini membuatkan hatinya tidak tenteram.

Katanya, dalam tahun ini sahaja, tiga kali banjir kilat berlaku di kawasan mereka iaitu pada Ogos, Oktober dan Rabu lalu.

“Sekarang ini kalau cuaca mendung saja, nak duduk pun tak tenang kerana kami perlu bersiap sedia.

“Kalau hujan berterusan satu jam, mesti banjir. Memang bantuan pembersihan dan barangan makanan itu sampai, tapi yang kami harapkan jalan penyelesaian supaya ia tak berulang lagi,” katanya.