PRU15: Ravinder tekad bersihkan negara daripada rasuah

in Politik by

Ravinder dan beberapa calon PRM sedang membuat persiapan kempen di Bilik Gerakan PRM Pulau Pinang.Ravinder (kanan) mendekati pengundi di sekitar Bayan Baru ketika mengadakan siri kempennya.

GEORGETOWN – Calon paling tua Pulau Pinang yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum kw-15 (PRU15) berazam untuk membersihkan pentadbiran negara daripada gejala rasuah sekiranya diberi peluang untuk menjadi ahli Parlimen.

Ravinder Singh dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) berkata, perkara pertama perlu ‘dibersihkan’ adalah pemimpin teratas bagi memastikan negara bebas daripada rasuah.

Menurutnya, beliau bimbang dengan pentadbiran negara pada ketika ini yang menyebabkan rakyat perlu bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Sekiranya saya diberi peluang untuk menjadi ahli Parlimen, saya akan berusaha untuk memastikan ‘kepala’ yang memerintah bersih daripada gejala rasuah. Apa yang saya perhatikan selama ini, negara dibelenggu dengan kerajaan dan pemimpin yang banyak makan wang.

“Jika perkara ini tidak dibendung, maka ia akan menjadi kanser paling berbahaya. Malaysia akan musnah dan rakyat sengsara, sementara menteri korup hidup bermaharajalela. Hutang negara semakin meningkat.

“Adakah ini yang kita nak lihat untuk generasi akan datang? Waktu ini pun kita sudah sengsara dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, bagaimana generasi anak cucu kita kelak? Saya tidak akan biarkan rasuah terus membelenggu negara, kita perlu lakukan sesuatu,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan PRM Pulau Pinang pada Jumaat.

Bekas guru disiplin itu berkata, negara mempunyai sumber pendapatan yang banyak antaranya petroleum, kayu balak dan kelapa sawit untuk menampung keperluan rakyat.

**media[1978768]**

“Kita ada banyak sumber tetapi mana hasil penjualan sumber-sumber ini? Sepatutnya rakyat dapat merasa hasil tersebut tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

“Ikutkan, negara tidak perlu berhutang dengan begitu banyak seperti sekarang ini jika pemimpin atasan bijak menguruskan hasil sumber negara, bukannya hasil itu masuk ke poket sendiri,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, sekiranya rakyat memberi mandat kepada calon PRM termasuk dirinya, mereka akan membawa suara rakyat dengan memastikan konsep semak dan imbang berjalan sepenuhnya dalam sistem demokrasi di negara ini.

“PRM adalah sebuah parti kecil dan kita pun tidak bertanding di banyak kerusi, malah kita sedar kita tidak dapat membentuk kerajaan pusat.

“Bagaimanapun, jika diberi mandat, sekurang-kurangnya PRM akan menjadi suara rakyat untuk memastikan konsep semak dan imbang berjalan sepenuhnya,” ujarnya.

Berkongsi rahsia penjagaan kesihatan di usia 80 tahun, Ravinder berkata, beliau hanya makan dalam kuantiti yang sedikit dan lebihkan sayur-sayuran serta buah-buahan dalam setiap juadahnya.

“Saya tiada rahsia, cuma jaga makan. Saya ambil petua orang tua-tua, makanan yang sedap itu kena makan sikit. Selalunya makanan sedap itu tidak sihat. Saya lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Saya tidak makan ‘fast food’ dan makanan diproses.

“Selain itu, setiap pagi saya akan meluangkan sekurang-kurangnya 30 minit untuk berjalan laju (brisk walk). Kadang-kadang saya mendaki bukit di sekitar Pantai Esen, Permatang Damar Laut untuk stamina.

“Walaupun usia saya 80 tahun, saya tiada penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi atau diabetes. Cuma 25 tahun dulu saya pernah menjalani prosedur stent untuk jantung dan selepas itu saya sihat,” katanya.

Justeru, pengundi tidak perlu risau dengan kesihatannya malah beliau yakin dengan tahap kesihatannya pada waktu ini.

Ravinder bakal berentap berdepan Ooi Chuan Aun dari Warisan, Saw Yee Fung (BN), calon Bebas, Kan Chee Yuen, Sim Tze Tzin (Pakatan Harapan) dan Oh Tong Keong (Perikatan Nasional) di Parlimen Bayan Baru.