Qatar 2022: Maddison tambah nilai kekuatan England

in Sukan by

Maddison mendapat kepercayaan Southgate dalam memperkuatkan cabaran England di Qatar 2022. – Foto Agensi

NAIB juara Euro 2020, England mempertaruhkan pemain tengah sensasi Leicester City, James Maddison dalam skuad The Three Lions untuk Piala Dunia 2022 di Qatar, selain menyelitkan penyerang Newcastle United, Callum Wilson dan Manchester United, Marcus Rashford.

Maddison dan Wilson sebelum ini tidak bermain untuk England sejak 2019, namun berdasarkan prestasi luar biasa dalam saingan domestik menyaksikan kedua-duanya mendapat tempat dalam skuad Gareth Southgate ke Qatar 2022.

Penampilan Maddison sebelum ini mendapat perhatian media tempatan apabila pemain berusia 25 tahun itu sejak awal musim lalu terlibat secara langsung dalam 30 gol Liga Perdana Inggeris.

“Maddison bermain dengan sangat baik. Kami selalu mengatakan dia pemain yang bagus dan berhak menyarung jersi keramat England.

“Kami percaya dia boleh memberi pasukan sesuatu yang sedikit berbeza kepada bahagian serangan pada masa ini.

“Dia sama seperti pemain lain di posisinya tampil cemerlang sejak kebelakangan ini, saya harap keunikannya dapat membantu England melakar keputusan positif di Qatar,” kata Southgate.

Penampilan Rashford yang menyerlah musim ini menyaksikan pemain yang kali terakhir muncul sebagai pemain gantian pada final Euro 2020, kembali semula menganggotai skuad Three Lions.

England dijadualkan menyingkap kempen kumpulan B Piala Dunia 2022 menentang Iran pada 21 November diikuti aksi berdepan Amerika Syarikat dan Wales.

SKUAD PIALA DUNIA 2022 ENGLAND

Penjaga Gol: Jordan Pickford (Everton), Nick Pope (Newcastle United), Aaron Ramsdale (Arsenal)

Pertahanan: Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Conor Coady (Everton, on loan from Wolverhampton Wanderers), Eric Dier (Tottenham Hotspur), Harry Maguire (Manchester United), Luke Shaw (Manchester United), John Stones (Manchester City), Kieran Trippier (Newcastle United), Kyle Walker (Manchester City), Ben White (Arsenal)

Pemain Tengah: Jude Bellingham (Borussia Dortmund), Conor Gallagher (Chelsea), Jordan Henderson (Liverpool), Mason Mount (Chelsea), Kalvin Phillips (Manchester City), Declan Rice (West Ham United)

Penyerang: Phil Foden (Manchester City), Jack Grealish (Manchester City), Harry Kane (Tottenham Hotspur), James Maddison (Leicester City), Marcus Rashford (Manchester United), Bukayo Saka (Arsenal), Raheem Sterling (Chelsea), Callum Wilson (Newcastle United)