Qatar 2022: Santos tak goyah prestasi Ronaldo

in Sukan by

Santos percaya Ronaldo berada pada tahap terbaik mencipta sensasi di Qatar 2022. – Foto Agensi

PENGENDALI Portugal, Fernando Santos menegaskan tidak bimbang mengenai kritikan terhadap prestasi Cristiano Ronaldo bersama Manchester United yang disifatkan pelbagai pihak menuju ke penghujung kariernya.

Malah Santos tanpa berselindung percaya bekas pemain Sporting Lisbon, Real Madrid dan Juventus itu masih berada pada prestasi terbaik kariernya pada ketika ini.

“Jika kita bercakap tentang momentum, Ronaldo telah bermain empat perlawanan terakhir bersama kelabnya.

“Jadi saya tidak bimbang mengenai tahap prestasinya untuk Piala Dunia kali ini.

“Malah kami akan cuba menggunakan pendekatan atau kaedah serta cara terbaik untuk meningkatkan semua pemain dalam sistem pasukan Portugal, termasuk Ronaldo,” kata Santos.

Santos percaya skuad Portugal yang diketuai Ronaldo kini berada di puncak prestasi untuk bersaing dalam kejuaraan terbesar bola sepak dunia di Qatar.

“Kami mempunyai pasukan yang mampu memenangi semuanya, itulah yang mampu dijelmakan kumpulan ini di Qatar.

“Pemain ‘laparkan’ kejayaan dan akan memberikan segalanya untuk edisi Piala Dunia 2022 bagi menjadikan Portugal juara dunia.

“Senarai kami adalah berdasarkan kualiti dan potensi yang ada pada setiap pemain dan apa yang mereka boleh tawarkan kepada sistem bola sepak Portugal,” jelasnya.

Sementara itu, selepas pengumuman senarai pemain bagi menggalas cabaran di Piala Dunia Qatar 2022, Ronaldo berkata: “Sekali lagi kami bersedia untuk menaikkan nama Portugal! Terdapat 26 nama dalam senarai jurulatih Fernando Santos, namun kami semua dipanggil. Ayuh Portugal!.”

SKUAD PIALA DUNIA 2022 PORTUGAL

Penjaga gol: Diogo Costa (FC Porto), Jose Sa (Wolverhampton Wanderers FC), Rui Patricio (AS Roma).

Pertahanan: Diogo Dalot (Manchester United), Joao Cancelo (Manchester City), Danilo Pereira (Paris St Germain), Pepe (FC Porto), Ruben Dias (Manchester City), Antonio Silva (SL Benfica), Nuno Mendes (Paris St Germain), Raphael Guerreiro (Borussia Dortmund).

Pemain Tengah: Joao Palhinha (Fulham FC), Ruben Neves (Wolverhampton Wanderers), Bernardo Silva (Manchester City), Bruno Fernandes (Manchester United), Joao Mario (SL Benfica), Matheus Nunes (Wolverhampton Wanderers FC), Vitinha (Paris St Germain), William Carvalho (Real Betis), Otavio (FC Porto).

Penyerang: Cristiano Ronaldo (Manchester United), Joao Felix (Atletico Madrid), Rafael Leao (AC Milan), Ricardo Horta (SC Braga), Goncalo Ramos (SL Benfica), Andre Silva (RB Leipzig).