Selangor lebih bersedia hadapi banjir: MB

in Edisi Selangor KL by

Amirudin Shari

KLANG – Persediaan Selangor berdepan bencana banjir pada kali ini lebih tersusun dan pantas terutama dalam urusan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa banjir di negeri berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah awal diambil susulan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan banjir pada minggu kedua November.

“Ini membuktikan kebimbangan berkenaan banjir pada November telah berlaku semalam (Rabu) dan menyebabkan pemindahan mangsa termasuk penggunaan sekolah (sebagai pusat pemindahan sementara).

“Malah, ada unsur menunjukkan lanjutan (hujan) bukan hanya satu atau dua hari. Sebahagiannya faktor kadar penurunan hujan lebih tinggi seperti di Meru 104mm (milimeter) berbanding kebiasaan 80 ke 80mm,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia.

Amirudin memaklumkan banjir yang berlaku di negeri Selangor ketika ini disebabkan kadar hujan yang tinggi daripada biasa iaitu melebihi 104mm, bukan masalah perparitan.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan longkang setiap masa terutama di kawasan perumahan yang berisiko banjir.

“Ia bukan berlaku di Selangor sahaja tetapi juga di Melaka, Perak dan Sabah. Memang ada anggapan begitu (masalah perparitan) terutama apabila air pasang, tetapi alhamdulillah tidak perlu sampai ke pusat pemindahan,” katanya lagi.

Hujan lebat hampir dua jam petang Khamis menyebabkan beberapa kawasan sekitar Klang dan Shah Alam dilanda banjir kilat dengan ratusan mangsa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara.

Pada Jumaat, seramai 147 penduduk sekitar Johan Setia di sini termasuk sembilan bayi terkesan banjir susulan hujan lebat masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia.

Menurut data dikeluarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 11.30 pagi tadi, sebanyak 32 keluarga terdiri daripada 40 lelaki dan 48 wanita termasuk dua warga emas serta 28 kanak-kanak lelaki, 24 kanak-kanak perempuan dan sembilan bayi.

Secara keseluruhannya seramai 211 mangsa banjir daripada 49 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Klang dan Petaling.