BN tidak salahkan pengundi kalah PRU14

in Politik by

Mahdzir Khalid

JERLUN – Barisan Nasional (BN) yang gagal membentuk kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak menyalahkan pengundi disebabkan mereka terpedaya dengan janji-janji besar Pakatan Harapan (PH) sehinggakan memberi kemenangan kepada gabungan itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, PH yang memerintah selama hampir dua tahun seharusnya menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat, namun mereka gagal melakukannya.

Menurutnya, PH pada PRU15 dilihat cuba sekali lagi merayu mahu mendapatkan sokongan rakyat dan meminta gabungan itu diberi peluang untuk menunaikan janji mereka.

“Pada PRU14 yang lalu kita tidak salahkan pengundi yang telah balik ke kampung dan mengundi PH pada waktu itu kerana kebanyakan pengundi terpedaya dengan janji-janji besar dibuat oleh PH dalam manifestonya.

“Seperti yang kita semua tahu selepas mereka menjadi kerajaan mereka tidak dapat melaksanakan apa-apa janji yang dibuat dalam manifesto mereka,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas di Alor Biak, Ayer Hitam, dekat sini pada Sabtu.

Justeru, Menteri Pembangunan Luar Bandar itu mengingatkan rakyat supaya memilih parti yang menawarkan manifesto yang lebih praktikal dan digubal berdasarkan realiti semasa pada PRU15 ini.

Beliau yang juga calon BN Parlimen Padang Terap berkata, rakyat telah pun dapat menyaksikan kesan daripada PRU14 apabila PH dipilih menerajui negara yang menawarkan pelbagai janji tetapi tidak ditepati.

“Untuk PRU15 ini saya mengharapkan pengundi-pengundi yang akan mengundi pada hujung minggu nanti supaya tidak lagi terpedaya dengan apa yang disebutkan oleh PH kerana mereka dah janji, mereka buat janji itu tapi mereka tidak laksanakan,” katanya.