Penduduk gesa siapkan projek tebatan banjir

in Edisi Terengganu by

Salah seorang penduduk mula mengemas barang-barang di dalam rumah memandangkan air mulai masuk ke dalam rumah susulan hujan lebat berterusan.Projek tebatan banjir yang dijanjikan diyakini dapat menyelesaikan masalah dihadapi penduduk ketika ini.

KEMAMAN – Penduduk di kawasan perumahan mampu milik di Kampung Teluk Kalong, Kemaman menggesa pihak berwajib menyelesaikan segera projek tebatan banjir seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Saban tahun, lebih 300 keluarga di kawasan terbabit berdepan masalah banjir setiap kali tiba musim tengkujuh.

Wakil penduduk, Suriani Zakaria, 43, berkata, mereka kecewa dengan janji-janji ditabur oleh pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah yang sudah berlanjutan sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, tiada siapa sanggup berhadapan dengan situasi yang menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian besar akibat kerosakan harta benda setiap kali banjir melanda.

“Kecewa dan letih sebab terpaksa kemas rumah setiap kali banjir berlaku.

“Habis semua barang rosak dan jika tiba musim hujan memang kami tidak lena tidur,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ruzilawati Mohammad, 38, berkata, janji hanya tinggal janji membuatkan mereka semakin tertekan dengan masalah yang tiada penghujungnya.

**media[1980374]**

“Kecewa memang kecewa kerana kita menunggu janji yang tak pasti.

“Kita tunggu mereka nak buat saluran pembaikan tetapi sampai sekarang tidak buat apa-apa kecuali bahagian tepi sahaja dikorek tetapi itu semua tidak mampu mengatasi masalah yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat ketika dihubungi berkata, perancangan projek tebatan banjir dan sungai tiruan bernilai RM12 juta kini sudah memasuki fasa akhir.

“Kontraktor sudah dilantik dan jangkakan kerja-kerja pembinaan dapat dijalankan pada awal Disember ini .

“Langkah sementara pencegahan banjir ketika projek pembinaan dijalankan turut akan dibuat bagi mengelak perkara sama berulang,” jelas beliau.