Projek tebatan banjir: SPRM semak dakwaan Rafizi

in Nasional by

Azam Baki – Foto Bernama

KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyemak dakwaan laporan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung projek tebatan banjir yang dibuat selepas pembubaran Parlimen.

Rafizi sebelum ini mendakwa mempunyai surat yang didakwa menjadi bukti projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion di Sungai Langat 2, yang diluluskan kerajaan melalui rundingan terus kepada syarikat tertentu pada 7 Oktober lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap maklumat sama ada laporan secara bersemuka atau melalui media untuk menjalankan siasatan.

“Setakat ini, kita belum menerima sebarang laporan secara rasmi tetapi akan mengambil maklum mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengurniaan Kehormatan Kelantan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan V yang ke-53 di Istana Balai Besar di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencabar Rafizi membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan pemberian projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara runding terus.

Ditanya sama ada SPRM akan memanggil Rafizi untuk mengambil keterangan mengenai perkara itu, Azam berkata, perkara itu belum diputuskan lagi.

Bagaimanpun beliau berkata, SPRM sentiasa terbuka mengalu-alukan Rafizi atau mana-mana pihak menyalurkan maklumat dan akan disiasat jika perkara itu berasas.

Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika ditemui pada majlis sama memaklumkan sudah bersedia memberi kerjasama kepada SPRM dan pihak polis sekiranya dipanggil untuk mengemukakan bukti.

“Projek ini merupakan perancangan kerajaan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan tetapi surat setuju terima (SST) belum keluar.

“Tiada mana-mana syarikat yang boleh mendakwa projek itu kepunyaan mereka.

“Kalau betul ada penyelewengan salah guna kuasa atau rasuah, sila buat laporan kepada SPRM dan polis untuk siasatan,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya bersedia pada bila-bila masa untuk dipanggil oleh pihak SPRM bagi membuktikan beliau berada di pihak yang benar.

“Kalau dipanggil hari ini, hari ini juga saya pergi, jika malam dipanggil, pagi nanti saya sampai,” katanya.