PRU15: Ku Nan sedih posternya dikhianat

in Politik by

Perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab terhadap poster Ku NanKu Nan turun padang beramah mesra dengan penduduk pada hari ke-8 kempen PRU15.

PUTRAJAYA – Penyandang P125 Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kecewa apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat terhadap beberapa posternya.

Ujarnya, perkara tersebut tidak pernah berlaku sepanjang empat penggal pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

“Saya berasa sedih kerana ia tidak pernah berlaku tetapi penggal kali kelima ini, tidak tahu orang dari hutan mana datang. Dia cat dan pangkah poster saya serta jahanamkan peralatan kempen yang dipasang BN,” katanya.

Menurutnya, pihak lawan sepatutnya menjalankan kempen secara aman tanpa menimbulkan sebarang provokasi.

“Kenapa hendak lakukan benda-benda seperti ini? Kalau kamu tahu sudah nak kalah, janganlah ‘desperate’ sangat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas beramah mesra dengan penduduk sekitar dekat sini pada Sabtu.

Sebagai wakil rakyat yang menerajui Putrajaya selama empat penggal berturut-turut, beliau berkata, warga penduduk telah dididik dengan etika baik.

“Saya ketua kampung yang jaga kampung ini mahu penduduk di Putrajaya hidup secara aman sejahtera,” ujarnya.

**media[1980154]**

Beliau yang juga Bendahari UMNO berkata, satu laporan polis telah dibuat pihaknya berhubung perkara tersebut.

“Putrajaya ini tempat yang aman, saya sarankan berhentilah buat benda-benda mungkar ini di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Sebelum itu, pasukan Ku Nan melaporkan dua poster calonnya diconteng dengan menggunakan cat dan kejadian itu berlaku di Presint 8 dan Presint 11.