PRU15: Lonjakan sokongan kepada PN di tiga negeri

in Politik by

Tuan Ibrahim

KOTA BHARU – Lonjakan sokongan rakyat dijangka meningkat terhadap Perikatan Nasional (PN) di Pahang, Kelantan dan Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata, kenyataan itu berdasarkan beberapa faktor termasuk penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) dan BN.

“Pertama berlaku satu gelombang penolakan rakyat Kelantan dan Pahang terhadap PH, ‘confirm’ dah tetapi juga kepada BN.

“Di Perlis kita lihat gelombang penolakan berlaku apabila Shahidan bersedia bersama Pas dan bersedia jadi calon PN. Beliau ada pengaruh yang besar dan Perlis hanya ada tiga Parlimen.

“Kita jangka dengan kerja yang dibuat selama ini dan kesedaran pengundi, Insya-ALLAH kita harap akan berlaku lonjakan di Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Pejabat Pas Negeri di sini, pada Sabtu.

Tuan Ibrahim yang bertanding di Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu di Pahang juga berlaku perkara yang sama apabila tokoh besar yang berpengaruh seperti Ismail Muttalib bertanding sebagai calon PN di Maran.

“Oleh kerana sekarang beliau jadi calon PN di Maran, saya tengok ada gelombang kesedaran dan kebangkitan di Pahang.

“Di Pantai Timur hanya Pahang yang masih dikuasai BN. Kita harap kali ni pengundi Pahang buat perubahan ke arah Malaysia yang lebih ‘best’,” katanya.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) PN di Cheka, Pahang memaklumkan beliau telah bertemu dengan hampir 80 peratus pengundi di kawasan itu.

Katanya baki pengundi yang selebihnya akan ditemui sepanjang minggu kedua tempoh berkempen ini.