PRU15: Tengku Zafrul tidak mahu layan fitnah

in Politik by

Tengku Zafrul semasa sidang media di Kuala Selangor pada Sabtu.

KUALA SELANGOR – Calon BN Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hanya mahu fokus kepada kebajikan rakyat berbanding melayan fitnah jahat dilempar parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tengku Zafrul berkata, semakin dekat dengan hari pengundian ini, maka lebih banyak tomahan dan penipuan dicipta untuk mempengaruhi pengundi.

“Saya telah dinasihatkan oleh rakan dan keluarga apabila lagi dekat PRU15 (hari pengundian) ini, maka lebih banyak fitnah tersebar.

“Saya dengar nasihat mereka supaya kita fokus kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negara khususnya di Parlimen Kuala Selangor ini,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan memberitahu, beliau menolak sebarang bentuk budaya fitnah dan memburukkan calon lain semasa berkempen.

“Fitnah ini biasa terjadi lebih-lebih lagi musim pilihan raya dan bukan saya seorang sahaja difitnah,” katanya.

Ujar beliau, rakyat pada masa sekarang tidak mudah terpedaya dengan fitnah, sebaliknya mereka ingin tahu apakah yang boleh dilakukan calon untuk membantu kehidupan masyarakat.

“Saya sebagai pengundi pun hendak tahu apa manifesto, aku janji dan apa yang calon boleh laksanakan untuk rakyat.

“Ini bukan soal apa yang calon cakap kepada calon lain lebih-lebih lagi pengundi sekarang pandai menilai dalam soal kewibaan calon dan keupayaan parti.

“Saya sendiri sebagai calon tidak fokus kepada isu tidak produktif,” kata beliau.

Ditanya adakah beliau bersedia mengambil tindakan undang-undang, Tengku Zafrul memberitahu, beliau tidak mengetahui bentuk fitnah terbabit, namun akan meneliti terlebih dahulu dakwaan berkenaan.

“Saya tidak tahu fitnah apa dilemparkan kepada saya, jika ada tuduhan yang tidak betul saya akan bincang dahulu dengan pegawai untuk tindakan selanjutnya.

“Tuduhan berbentuk fitnah ini bagi saya biarlah rakyat yang menjadi hakim,” katanya.