PRU15: Tiada kebocoran data SPR – Hamzah

in Nasional by

Hamzah
ARAU – Kementerian Dalam Negeri tidak menerima sebarang laporan polis berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi 800,000 pengundi yang dikatakan data dimiliki Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan hanya akan dibuat selepas ada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, jika maklumat peribadi yang bocor itu mengandungi nombor telefon maka ia bukan daripada data SPR.

“Kalau ada nombor telefon maka bermakna bukan SPR yang punya. Kalau SPR hanya bagi nama dan nombor kad pengenalan sahaja.

“Itu tak betul (kebocoran data peribadi), mesti ada orang yang menipu semata-mata untuk mencari keuntungan.

“Apabila ada laporan polis kita akan buat siasatan. Buat masa ini belum ada (laporan) rasmi menerima benda-benda seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Perikatan Nasional (PN) bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kebocoran data peribadi buat kali kedua apabila kempen PRU15 memasuki minggu kedua.

Data peribadi yang didakwa bocor itu mengandungi maklumat pengundi merujuk kepada pangkalan data SPR membabitkan 800,000 gambar pengundi dan MyKad mereka.

SPR mengumpul gambar-gambar ini sebagai sebahagian daripada laman web Daftar MySPR yang dilancarkan pada 2019.