Annuar akan kembali ke arena bola sepak

in Sukan by

Annuar (kiri) menandatangani jersi bola sepak Kelantan. Bekas pemain bola sepak Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kanan) melayani peminat di Kota Bharu. Annuar (tengah) memotong kek sebagai simbolik kepada sambutan 10 tahun TRW di Kelantan pada Ahad.

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa akan kembali aktif dalam arena bola sepak Kelantan.

Beliau menyatakan hasrat untuk membantu pasukan The Red Warriors (TRW) menghidupkan semula semangat ‘gelombang merah’ yang pernah disegani di negara sebelum ini.

“Saya nak bantu menggabungkan beberapa tenaga tetapi perlu berbincang dengan pemilik TRW dan Kelantan United terlebih dahulu.

“Pastinya saya tidak mahu melihat pasukan bola sepak Kelantan jadi belasahan tetapi mahu pasukan itu kembali menghidupkan suasana bola sepak Kelantan dan tampil disegani,” katanya ketika ditemui semasa Sambutan 10 Tahun TRW Treble di Jalan Long Yunus pada Ahad.

**media[1982062]**

Annuar bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci bentuk bantuan yang bakal dihulurkan kepada TRW namun memberi gambaran ada kaitan dengan saham atau kewangan selain sudah mengadakan perjumpaan awal dengan pemilik-pemilik pasukan terbabit.

“Saya tawarkan diri untuk membantu mengikut kemampuan.

“Sudah ada gambaran tetapi belum cukup dan belum ditentukan lagi nak memberi sokongan kedua-dua pasukan atau satu melalui dana yang mungkin boleh dihimpunkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Annuar turut melahirkan keyakinan semangat gelombang merah akan dapat dikembalikan kerana Kelantan sudah mempunyai asas pasukan dan peminat bola sepak yang setia dalam apa-apa jua keadaan.

“Asasnya sudah ada dan saya tidak risau, yang mustahak prestasi pemain akan lebih baik kerana ada penyokong kuat di belakang.

“Pasukan bola sepak Kelantan perlu inisiatif untuk dinaikkan ke satu tahap yang baharu antaranya melalui pemerkasaan kejurulatihan, meningkatkan kualiti pemain import dan lokal serta berapa penjenamaan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan tidak memikirkan soal jawatan dalam KAFA sebaliknya mahu fokus mengembalikan kegemilangan pasukan bola sepak itu dan menyatukan kekeluargaan rakyat Kelantan melalui sukan tersebut.

**media[1982063]**

Annuar adalah figura penting dalam pembangunan bola sepak Kelantan dan menyandang jawatan Presiden KAFA selama dua penggal iaitu pada 2007 dan melepaskan jawatan itu pada November 2016.

Annuar (tengah) memotong kek sebagai simbolik sambutan 10 tahun TRW di Kelantan.

Bekas pemain bola sepak Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kanan) melayani peminat di Kota Bharu.