Calon PKR capai KPI ditetapkan

in Politik by

Lee Chean Chung

PETALING JAYA – Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung menjelaskan beliau berpuas hati setakat ini dengan semua prestasi calon parti tersebut yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, dalam minggu pertama PRU15, semua calon PKR telah mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh parti.

“Kita telah memantau semua calon dan saya nampak ada perubahan yang positif terutamanya dalam minggu yang pertama. Calon-calon kami (PKR) juga diberi panduan ketika berada di lapangan.

“Mereka perlu jumpa seberapa ramai rakyat yang boleh dan mereka telah mencapai KPI setakat ini,” katanya kepada Sinar Harian selepas program ‘Meet The Candidates’ anjuran MyPJ pada Ahad.

Selain Chean Chung yang juga calon Parlimen Petaling Jaya mewakili Pakatan Harapan (PH), program itu turut dihadiri oleh calon Perikatan Nasional (PN), Theng Book dan calon Bebas, Dr KJ John bagi Parlimen Petaling Jaya.

Pada program tersebut, isu yang hangat dibangkitkan adalah mengenai pilihan raya kerajaan tempatan selain isu-isu melibatkan alam sekitar dan kesihatan penduduk.

Ditanya mengenai kekecewaan sesetengah pengundi Petaling Jaya kerana penyandang kerusi tersebut, Maria Chin Abdullah yang tidak dipilih semula oleh PKR, Chean Chung berkata, isu tersebut sudah tidak lagi dibangkitkan.

“Maria telah meletakkan satu standard yang tinggi dan saya perlu memenuhi hasrat rakyat supaya saya juga boleh memenuhi standard yang sama seperti Maria.

“Tetapi pada masa yang sama saya juga membawa aspirasi yang baharu dan pendekatan yang berbeza kepada Petaling Jaya. Saya rasa ini boleh beri keyakinan kepada rakyat untuk menyokong PH ,” ujarnya

Pada PRU15 kali ini, seramai 195,148 pengundi berdaftar bagi Parlimen Petaling Jaya.