Cheng Hoe puas hati aksi agresif Selangor

in Sukan by

Pemain Negeri Sembilan,Mathues Alves (dua dari kanan) dikawal ketat pemain pertahanan Selangor pada perlawanan Suku Akhir Kedua Piala Malaysia, pasukan Selangor menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam tadi. – Foto Bernama

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe nyata gembira dengan persembahan agresif yang ditampilkan anak buahnya meskipun berdepan tentangan sengit ketika seri menentang Negeri Sembilan FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Menurut Cheng Hoe, aksi pemain-pemainnya perlu diberikan pujian memandangkan mereka bukan sahaja memberikan komitmen yang tinggi pada perlawanan tersebut malah turut menampilkan aksi berdisiplin tinggi apabila berjaya mengekalkan kelebihan jaringan sehingga tamat perlawanan.

“Kita menerima tekanan yang hebat daripada pasukan Negeri Sembilan terutama pada tempoh separuh masa kedua selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada separuh masa pertama.

“Namun, pemain saya berjaya mengawal permainan dengan menyekat setiap serangan Negeri Sembilan melalui disiplin serta semangat berpasukan yang tinggi dan berjaya menghalang pasukan lawan menambah jaringan.

“Jadi, pujian harus diberikan kepada semua pemain yang telah menunjukkan persembahan yang baik sepanjang tempoh permainan dan membawa kita ke peringkat separuh akhir,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, skuad gergasi merah berjaya mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia selepas memperoleh kemenangan agregat 4-2 meskipun terikat 2-2 pada suku akhir kedua.

Selangor terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Caion De Souza pada minit kesembilan manakala gol kedua disempurnakan Yazan Mahmoud pada minit ke-44.

Skuad Hobin Jang Hobin pula mendapatkan jaringan menerusi Matheus Alves menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 dan gol kedua dijaringkan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-45.

Sementara itu, pengendali Negeri Sembilan, K Devan mengaku tetap berbangga dengan prestasi anak buahnya dalam kejohanan tersebut meskipun gagal mara ke peringkat seterusnya.

“Saya tetap bangga dengan pencapaian pasukan Negeri Sembilan musim ini terutama Mohamad Zaquan Adha (Abdul Radzak) selaku kapten yang telah berjaya membimbing rakan sepasukan.

“Pencapaian kita boleh disifatkan sebagai memadai kerana bajet yang rendah disediakan pihak pengurusan kelab dan kita tidak dapat membawa masuk pemain lebih berkualiti, tetapi pemain yang ada ini sudah menunjukkan tahap prestasi yang membanggakan.

“Walaupun berstatus pasukan baharu dalam Liga Super, tapi kita berjaya menamatkan saingan di tempat keempat iaitu suatu kedudukan yang boleh dibanggakan,” ujarnya