Pembangunan tanpa kolam takungan antara punca banjir kilat

in Edisi by

Pemantauan tetap dijalankn di kawasan-kawasan terlibat banjir di Meru biarpun aras air mencatatkan penurunan pada Sabtu. (Gambar kecil: Oliver)

SHAH ALAM – Masalah pembangunan dan parit tersumbat di kawasan Lembah Klang antara punca yang menyebabkan berlakunya bencana banjir kilat.

Pakar Perancangan Bandar dan Wilayah, Profesor Madya Dr Oliver Ling Hoon Leh berkata, banyak pembangunan dahulu adalah tidak dilengkapi dengan sistem kolam takungan akibat pembangunan sebelum pelaksanaan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA).

Ujar beliau, kebiasaannya pemaju akan membuat kolam takungan bagi kawasan pembangunan baharu terutamanya di tempat yang berisiko banjir.

“Seperti kita tahu, ada tempat yang tidak ada kolam takungan terutamanya kawasan pembangunan yang lama.

“Kalau pembangunan lama ini dibina di kawasan tanah yang lebih tinggi, apabila hujan, air akan masuk ke parit, sungai dan terus mengalir ke kawasan rendah.

“Jadi kesudahannya kawasan rendah adalah berisiko banjir,” katanya kepada Sinar Harian.

Ulas beliau, masalah perparitan pula berpunca daripada sampah-sarap yang dibuang ke dalam parit sengaja atau tidak sengaja oleh orang awam seterusnya menyebabkan parit itu mudah tersumbat.

“Apabila parit tersumbat, ia akan menyebabkan banjir. Banjir kilat ini berlaku semasa hujan lebat dan disokong oleh perparitan yang tersumbat mungkin disebabkan pembuangan sampah atau akibat aktiviti pembinaan yang tidak diuruskan dengan baik, iaitu tanah-tanih mungkin akan tersekat dalam parit atau mengurangkan kapasiti sistem perparitan untuk mengalirkan air hujan (air larian).

“Kalau untuk banjir kilat, ia mungkin dalam sejam atau dua jam tetapi jika banjir lama seperti Taman Sri Muda, Seksyen 25 itu, besar kemungkinan disebabkan oleh pembangunan secara meluas di lembangan sungai sama ada di tanah tinggi, sederhana tinggi atau rendah.

“Sebahagian besar kawasan Lembah Klang atau Kuala Lumpur telah dimajukan, jadi hutan-hutan atau bukit yang hijau pun sudah semakin berkurang. Kawasan hutan atau bukit yang hijau adalah penting untuk menyimpan air hujan dan kurangkan risiko banjir,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hoon Leh berkata, pihak berkenaan perlu membuat kajian lebih mendalam dari segi pelaksanaan serta langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasi isu banjir di kawasan Lembah Klang dan Kuala Lumpur dengan mengambil kira impak bersama pembangunan, bukannya terhadap individu-individu projek atau satu-satu bandar.

“Itu cadangan pertama. Kedua, jika betul-betul sayangkan alam sekitar, kawasan tanah tinggi dan cerun ini tidak boleh dimajukan, kita kena pelihara.

“Begitu juga dengan kawasan sederhana tinggi dan bukit. Pembangunan semula kawasan yang berkualiti rendah atau usang (‘brownfield development’) adalah lebih baik daripada pembangunan di tanah yang baru (‘greenfield’)” ulasnya.