Piala Dunia 2022 terakhir buat Neymar

in Sukan by

Neymar – Foto goal.com

BINTANG Brazil, Neymar memberi bayangan Piala Dunia Qatar 2022 mungkin akan menjadi penyertaan terakhirnya bersama skuad Samba itu di kejohanan tersebut.

Justeru, pemain berusia 30 tahun itu berharap mampu melakukan aksi terbaik pada penampilan terakhirnya di Piala Dunia, sekali gus memberikan kejayaan buat skuad Brazil di Qatar.

“Saya akan bermain seperti ini yang terakhir kerana anda tidak tahu apa yang akan berlaku esok. Saya tidak boleh menjamin bahawa saya akan bermain satu lagi Piala Dunia.

Mungkin saya akan bermain satu lagi, mungkin tidak. Ia bergantung kerana selepas ini sudah tentu akan ada pertukaran jurulatih dan saya tidak tahu sama ada individu itu akan menyukai saya atau sebaliknya.

“Saya sudah membina sejarah panjang dalam pasukan kebangsaan dan pastinya mahu menamatkannya dengan baik. Saya suka bermain bola sepak dan suka menang.

“Saya suka menjadi lebih baik setiap hari dan berharap nama saya terpahat dalam bola sepak sejarah,” katanya,

Ditanya mengenai peluang Brazil untuk meraih kejayaan di Qatar, Neymar mengakui pasukan kendalian Tite itu berpotensi untuk mara lebih jauh.

“Walaupun ramai orang tidak percaya, kami akan membuktikan sebaliknya. Saya melihat pasukan kebangsaan ini mempunyai banyak perkara yang baik, dan boleh pergi jauh,” ujarnya.