Projek Rumah Selangorku 3.0 lebih mampan, kondusif – Rodziah

in Edisi by

Rodziah (dua kiri) giat menjalankan kempen di sekitar Ampang menemui pengundi di kawasan berkenaan.

AMPANG – Satu dasar yang baharu lebih mampan dan kondusif akan diterap dalam pembangunan projek Rumah Selangorku 3.0 yang bakal dibangunkan di kawasan sekitar Lembah Klang.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, projek rumah mampu milik diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu itu mengikut formula nisbah plot dan orang per ekar.

“Misalnya dulu ada 60 unit rumah per ekar, tetapi seunit rumah mewakili lima hingga 10 orang. Sebab itu kawasan rumah strata ini kadang-kadang tidak dapat menampung keperluan asas yang sepatutnya disediakan.

“Maka kita berasakan isu rumah mampu milik mesti ditangani dengan kaedah yang sedikit berbeza iaitu melihat kepada (formula) orang per ekar supaya dapat mengurangkan kepadatan dan kesesakan.

“Setiap pembangunan itu juga tidak lagi menggunakan ketinggian semata-mata tetapi mengambil kira nisbah plot,” kata calon Pakatan Harapan Parlimen Ampang itu ketika sesi dialog bersama orang lama Ampang di sini.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) bagi membincangkan lebih lanjut berhubung pelaksanaan projek berkenaan.

“Insya-ALLAH dengan projek Rumah Selangorku 3.0, kita sudah melangkah satu era baharu dalam pembangunan perumahan ini. Paling penting harganya tetap tidak melebihi RM200,000.

“Kita bukan sahaja membina rumah, kita mahu memiliki stok mencukupi supaya boleh memberikan tawaran kepada mereka yang tidak mampu membeli rumah,” katanya.