PRU15: Buat keputusan saat akhir

in Nasional by

Adiana Akilah (kiri), Syahirah, Aifa Syahirah dan Eija Rosniza.

SHAH ALAM – Golongan pengundi baharu masih belum membuat keputusan memilih calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun sudah seminggu kempen berjalan.

Pelajar, Adiana Akilah Tuan Razak, 21, berkata, kempen yang hampir setiap hari diadakan oleh parti politik dilihat tidak banyak membantunya untuk membuat keputusan.

“Saya tak tahu nak pilih siapa namun saya mahukan pemimpin yang berwawasan, dapat majukan negara dan tidak asyik berpolitik sahaja kerana keadaan sekarang agak susah,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Aifa Syahirah Azizan, 21, pula berkata, ceramah dan kempen PRU15 tidak mempengaruhi undinya kerana akan membuat keputusan berdasarkan parti dan isu.

“Saya perlu memilih kerajaan stabil menerusi parti yang stabil dan bukan sebaliknya kerana kesilapan memilih menyebabkan kesan kepada negara,” katanya yang akan mengundi di Kubang Pasu, Kedah.

Seorang lagi pelajar, Syahirah M.Yussoff, 21, berkata, dia akan pulang mengundi di Tumpat, Kelantan dan membuat keputusan pada saat akhir parti mana yang akan disokong.

“Keputusan itu juga tidak dipengaruhi oleh keluarga dan saya akan memilih calon yang mampu membawa perubahan bukan berdasarkan populariti parti,”katanya. Seorang peniaga, Abdullah Hussin, 60 pula berkata, krisis politik yang berlaku sebelum ini menyebabkan dia belum membuat keputusan mahu memilih calon yang bertanding di kawasannya.

Menurutnya, pada PRU15 kali ini dia berharap untuk memilih calon yang bersih dan boleh menjadi wakil rakyat yang kuat bekerja.

“Saya tak tahu nak pilih siapa kerana di Parlimen Batu saja ada 10 calon yang bertanding. Saya mahukan pemimpin yang matang serta berwawasan, yang guna akal fikiran majukan negara dan tidak asyik berpolitik sahaja.

“Kempen ceramah pun orang tak nak dengar sangat kerana asyik kutuk mengutuk satu sama lain. Orang nak dengar masalah rakyat dan isu yang dibawa ketika rakyat sedang susah,” katanya.

Bagi pemandu peribadi, Azhar Mohd Husin, 54, turut akui masih belum membuat keputusan dalam memilih calon PRU15.

Bagaimanapun katanya, pemilihannya nanti akan menumpukan kepada calon berpengalaman yang dianggap lebih arif dalam menerajui kerajaan.

“Calon yang tidak berpelajaran tinggi tak apa kerana kalau terlalu pandai nanti rakyat diperbodohkan pula.

“Cukup asalkan dia bertanggungjawab dan menjalankan tugas dengan penuh amanah, dedikasi dan disiplin,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Rohani Abdul Rani, 47 berkata, dia telah mempunyai idea untuk mengundi calon pilihannya.

“Ceramah dan kempen PRU15 tidak akan mempengaruhi undi saya kerana saya sudah ada pilihan sendiri.

“PRU14 lalu saya jadikan panduan dan kesilapan memilih kerajaan telah menyebabkan ekonomi negara kita merudum teruk disebabkan politik yang tidak stabil. Saya tak mahu kesilapan itu berulang,” katanya.