PRU15: Dr Maszlee kena halau ketika berkempen

in Politik by

Seorang warga emas meminta Dr Maszlee supaya pulang ketika berkempen di sebuah dewan dalam kawasan Simpang Renggam, Kluang

KLUANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik terpaksa bersabar apabila dihalau seorang warga emas ketika berkempen di kawasan tersebut.

Video berdurasi 1 minit 29 saat mengenai kejadian tersebut tular ketika ini yang memaparkan bekas Menteri Pendidikan tiba di sebuah dewan dalam kawasan Simpang Renggam.

Dalam video berkenaan, lelaki berkenaan ‘naik angin’ ketika Dr Maszlee sampai di pintu pagar dewan berkenaan sebelum menjerit ke arah calon PH tersebut dengan nada keras menyuruhnya pulang.

Bagaimanapun dua anggota polis mengawal dan menenangkan warga emas tersebut daripada terus marah sebelum dibawa tepi jalan di dewan itu.

Selepas lelaki itu ditenangkan datang seorang lagi warga emas yang juga tidak membenarkan Dr Maszlee berkempen di situ dan memintanya pulang.

“Kita ikut undang-undang, malam tadi sudah cakap, politik tidak dibenarkan datang (berkempen di dewan itu),” kata warga emas tersebut sebelum Dr Maszlee mencelah dan memberitahu banyak yang sudah dilakukan di Simpang Renggam.

Dr Maszlee berkata, beliau sudah hampir lima tahun berkhidmat di Parlimen itu dan antara yang sudah diselesaikan masalah air dan sampah selain membawa restoran makanan segera McDonald’s di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun lelaki warga emas tersebut masih tidak mahu mendengar penerangan dan menyuruh penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam itu pulang sebelum Dr. Maszlee mendakwa layanan diberikan lelaki itu sebagai ‘inilah perangai UMNO’.

Dr. Maszlee kemudian mendakwa rakyat mengenalinya dan sentiasa bersama rakyat sama ada susah atau senang.

Kejadian tersebut dipercayai dirakamkan jentera kempen PH sebelum tular dalam media sosial.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi Parlimen Simpang Renggam dimenangi Dr Maszlee dengan 18,157 undi, berbanding calon Lian Teck Meng (BN) meraih 14,682 undi, manakala Mohd. Jubri Selamat (Pas) mendapat 2,983 undi.

Dr Maszlee menang dengan majoriti 3,475 undi.

Pada PRU15, Dr Maszlee akan berdepan Pengerusi UMNO dan BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, Mohd Fazrul Kamat (Perikatan Nasional) serta Kamal Kusmin (Gabungan Tanah Air).