PRU15: KJ mahu warga Sungai Buloh 'fit'

in Politik by

Khairy Jamaluddin sempat meluangkan masa bergambar bersama pengunjung yang hadir sebelum memulakan perlawanan badminton.

SUNGAI BULOH – Calon BN di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tekad untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti berkonsepkan kesukanan bagi mempromosikan gaya hidup lebih sihat kepada penduduk di kawasan itu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut menyifatkan sukan sebagai aktiviti yang dekat di hati beliau dan rakyat.

“Salah satu daripada manifesto saya ialah ‘Fit Sungai Buloh’ yang mana saya nak melihat kawasan ini memperbanyakkan lagi aktiviti sukan.

“Jadi kita juga boleh bantu komuniti tempatan untuk menganjurkan (aktiviti sukan).

“Sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan, memang aktiviti sukan ini sangat dekat di hati rakyat,” katanya ketika ditemui pada Program Santai Badminton bersama jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada Ahad.

Mengulas mengenai reaksi pengundi muda sepanjang tempoh berkempen, Menteri Kesihatan itu mengakui semakin ramai anak muda yang mula menunjukkan minat terhadap Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ujarnya, media sosial memainkan peranan yang sangat penting dalam berkempen terutamanya untuk menarik perhatian pengundi muda.

“Media sosial sangat penting untuk generasi muda. Mungkin kita tidak dapat jumpa dengan semua pengundi baharu.

“Tetapi yang penting melalui platform media sosial mereka sangat tertarik dengan kempen pilihan raya kali ini,” jelasnya.

Ditanya tentang kemunculan bekas pemain badminton nombor satu dunia, Lee Chong Wei ketika berkempen, beliau tidak menafikan kehadiran sahabatnya itu akan membantu menarik perhatian pengundi muda.

“Chong Wei ialah hero negara dan saya berterima kasih kerana beliau sudi membantu saya,” katanya.