PRU15: Masih ada masa fikir calon pilihan

in Nasional by

Gambar hiasanKamarunJonathanMohd ZulkarnainNoratikahNora DalyanaSalehuddinAzizahChee HuiMat JusohShahrul Hafiz

IPOH – Selama tempoh kempen kesemua calon cuba memenangi hati rakyat dengan menjadikan pasar awam mahupun kedai kopi sebagai platform berkempen.

Tinjauan Sinar Ahad mendapati masih ada sebahagian kecil pengundi yang sedang menilai kemampuan calon-calon yang bertanding.

Keupayaan calon dan parti yang diwakili menjadi faktor buat Mohd Zulkarnain Zainon, 40; Chong Chee Hui, 42, dan Salehuddin Yaacob, 54, sebelum mereka membuang undi pada Sabtu ini.

**media[1981297]**

Kata Mohd Zulkarnain, dia belum dapat membuat keputusan kerana semua calon rajin turun padang mendekati rakyat.

“Setakat ini semua calon menunjukkan prestasi yang baik dengan menawarkan manifesto yang menarik untuk kebaikan rakyat,” katanya.

**media[1981302]**

Chee Hui berkata, kesibukan berniaga menyebabkan dia tidak dapat membuat keputusan untuk memilih calon.

“Saya akan pilih calon yang kuat bekerja untuk rakyat tidak kisah dari parti mana pun. Masih banyak masa lagi untuk saya fikir dan mengundi nanti” katanya.

**media[1981300]**

Bagi Salehuddin, dia lebih suka melihat kepada kempen sihat yang dilaksanakan calon sebelum mengundi.

“Kempen yang sihat mencorak kepimpinan mereka. sekiranya pemimpin suka ‘hentam’ calon atau parti lain, saya menolak calon itu,” katanya.

Bagi golongan muda, Noratikah Madzni, 27; Jonathan Seth Maniyan, 33; Shahrul Hafiz Zam, 36 dan Nora Dalyana Mohamed Ali, 39, mereka sudah membuat keputusan untuk pilihan calon masing-masing.

**media[1981298]**

Kata Noratikah, parti yang diwakili calon menjadi faktor untuknya memilih selain rekod perkhidmatannya kepada rakyat.

“Ini kali kedua saya mengundi dan saya memilih calon dan parti yang sama kerana banyak membantu rakyat,” katanya.

**media[1981296]**

Jonathan pula berkata, manifesto yang ditawarkan sesuatu parti menjadikan dia lebih tertarik untuk memilih bakal wakil rakyat di kawasannya nanti.

“Saya tertarik manifesto yang ditawarkan kerana lebih relevan untuk rakyat,” katanya.

**media[1981304]**

Shahrul Hafiz berkata, isu yang dihadapi parti dan cara kendaliannya dijadikan ukuran bagi pengundi sepertinya.

“Banyak isu yang dapat kita lihat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini antaranya kelembapan ekonomi, harga barang dan situasi politik negara yang tidak stabil,” katanya.

**media[1981299]**

Nora Dalyana pula memilih kesetiaan kepada parti yang berpengalaman mentadbir negara.

“Parti berkenaan mempunyai wawasan dan perancangan membawa negara lebih maju dilihat lebih relevan malah, mereka berupaya menangani masalah rakyat,” katanya.

**media[1981301]**

Bagi pesara, Azizah Badaruddin, 62, dia memilih kesetiaan kepada parti disertainya.

“Kriteria calon, parti, manifesto yang dibentangkan dan keupayaan menangani sesuatu isu yang timbul, semuanya memainkan peranan dan parti ini berjaya membentuk calon yang berwibawa,” katanya.

**media[1981295]**

Kamarun Ariffin, 54, pula sudah membuat keputusan untuk memilih gabungan parti yang dilihat berpotensi membawa kesejahteraan kepada rakyat.

“Semua ahli keluarga sepakat memilih parti ini meskipun banyak rintangan yang dihadapi mereka terutama ketika negara berhadapan Covid-19,” katanya.

**media[1981303]**

Peniaga, Mat Jusoh Hashim, 66, berkata, pengalaman menghadapi beberapa pilihan raya sebelum ini membuatkan dia sudah membuat keputusan untuk memilih calon yang akan mewakilinya.