PRU15: Pengundi muda Kedah mahu peluang pekerjaan diperbanyak

in Politik by

Kekurangan peluang pekerjaan menyebabkan golongan muda terpaksa berhijrah ke bandar dan negeri lain untuk mencari sumber pendapatan. – Gambar hiasan 123RF

YAN – Kekurangan peluang pekerjaan di Kedah khususnya di daerah ini menyebabkan golongan muda terpaksa berhijrah ke bandar dan negeri lain untuk mencari sumber pendapatan.

Penduduk Kampung Tengah Sungai Limau Dalam, di sini Nur Aini Fatihah Shaharol, 19, berkata, golongan muda yang baru menamatkan pengajian juga sukar mencari pekerjaan berikutan majikan lebih mengutamakan golongan dewasa yang berpengalaman.

“Di sini peluang pekerjaan dilihat tidak terbuka, jadi susah untuk golongan muda mencari pekerjaan. Kebanyakannya mahu pekerja yang lebih dewasa, mereka tidak mahu orang muda sebab kami tiada pengalaman,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Nur Aini Fatihah berkata, bagi mengelakkan golongan muda di kawasan itu berhijrah, kerajaan digesa membangunkan daerah ini dan sekitarnya supaya lebih banyak peluang pekerjaan dicipta sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi.

Penduduk Kampung Kuala Dulang Kechil Mohamad Redzuan Yusof, 26, pula berkata, golongan muda sukar mendapat pekerjaan berikutan ramai antara mereka yang tercicir persekolahan akibat kesempitan hidup.

Mohamad Redzuan yang juga peniaga air nira berkata, golongan muda yang tercicir itu hanya mampu mendapat pekerjaan tidak tetap seperti membantu nelayan dan petani serta kerja-kerja di sektor pembinaan yang hanya dibayar mengikut hari bekerja.

Kerja sekarang susah hendak cari, kena ada sijil. Harapan saya, supaya kami senang mendapat kerja tidak kira ada sijil atau tidak. Bagilah peluang kerja kepada orang muda, kalau tidak kerja mereka hanya ‘melepak’ saja,” katanya.

Mengulas mengenai isu itu, calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata, daerah Yan ialah kawasan pertanian dan sektor lain termasuk perkilangan yang mampu menawarkan banyak peluang pekerjaan masih kurang dibangunkan.

Justeru, Sabri yang juga penyandang kerusi Parlimen itu berkata, industri pertanian di negeri berkenaan perlu segera diperkasakan dengan penggunaan teknologi terkini agar golongan muda lebih berminat menceburkan diri dalam sektor itu.

Calon BN bagi Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berkata, daerah Yan yang mempunyai beberapa lokasi menarik perlu dipromosi secara agresif agar sektor pelancongan dapat berkembang sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Di Sungai Petani, beberapa calon yang bertanding turut menyuarakan keazaman masing-masing bagi membantu golongan muda khususnya di Parlimen Sungai Petani.

Calon BN, Datuk Shahanim Muhammad Yusoff berjanji akan membantu anak muda mendapatkan peluang pekerjaan dan latihan di bawah skim Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

Shahanim yang juga bekas pegawai khas Menteri Pembangunan Luar Bandar turut akan mengusahakan agar sebuah universiti awam, litar lumba sukan permotoran dan sebuah kompleks sukan dibina di kawasan itu yang dilihat akan membantu menjana peluang pekerjaan.

Bagi calon Pejuang, Datuk Marzuki Yahya pula, infrastruktur jalinan komunikasi di kawasan Sungai Petani dan capaian Internet yang stabil perlu disediakan bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda berniaga secara dalam talian.

“Selain itu, industri ekopelancongan dan pelancongan sejarah perlu dibangunkan di kawasan itu supaya dapat memberi sumber pendapatan kepada anak muda yang menjadi pemandu pelancong, penjual kraftangan mahupun penyedia perkhidmatan lain,” katanya. – Bernama