PRU15: Pengundi positif Covid-19 tak dibenar guna pengangkutan awam

in Politik by

KKM memuat naik hantaran nasihat am kepada pengundi PRU di Facebook pada AhadGambar hiasan.

SHAH ALAM – Pengundi-pengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang positif Covid-19 tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk Grab pada hari pengundian 19 November ini.

Perkara itu antara beberapa langkah am proses pengundian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan proses berjalan dengan selamat dan mengurangkan risiko jangkitan kepada pengundi lain serta petugas di pusat pengundi.

Menurut KKM, pengundi positif Covid-19 juga disaran untuk tidak singgah di mana-mana tempat sama ada sebelum atau selepas mengundi dengan segera pulang selepas selesai membuang undi.

“Pemakaian pelitup muka diwajibkan bagi semua kes positif Covid-19 dan amat digalakkan bagi pengundi lain.

“Pengundi positif Covid-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan,” katanya menerusi hantar di Facebook.

**media[1981719]**

Berdasarkan nasihat am kepada pengundi PRU yang dikongsikan itu juga, pengundi dinasihatkan memastikan tangan dibersihkan dengan pensanitasi tangan di tempat yang dikenal pasti mengundi dan turut disyorkan agar membawa pensanitasi tangan sendiri.

“Petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat mengundi bagi membantu melicinkan urusan pengundian bagi pengundi positif Covid-19,” katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilapor KKM akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) COVID Safe Election, dengan mengesyorkan individu positif Covid-19 dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15 tidak lama lagi.

Beliau berkata, kebenaran itu akan dimuktamadkan dan disyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat, dengan pematuhan SOP yang ketat.