PRU15: Serah SPR siasat perbelanjaan calon BN

in Politik by

Hishammuddin (dua dari kiri) ketika menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin Barisan Nasional di Pusat Konvensyen Sungai Siput pada Ahad.Hishammuddin (tengah) ketika sidang akhbar selepas Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin Barisan Nasional di Pusat Konvensyen Sungai Siput pada Ahad.

SUNGAI SIPUT – BN menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat sebarang salah laku berkaitan had perbelanjaan calon-calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, parti tidak akan menyembunyikan sebarang salah laku calon sepanjang tempoh berkempen.

Menurutnya, bagaimanapun proses siasatan yang dilakukan terhadap aduan salah laku perlu telus dan tidak didedahkan.

“Kita ada agensi yang memantau, kalau ada kesilapan tak kira dari parti mana, harap SPR ambil tindakan yang sewajarnya.

“Biar proses dan tindakan itu tidak digembar-gemburkan, tidak digunakan sebagai bahan politik murahan menjelang hari pengundian 19 November,” katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin BN di Pusat Konvensyen Sungai Siput pada Ahad.

Hadir sama Presiden MIC yang juga calon Parlimen Sungai Siput, Tan Sri SA Vigneswaran, calon DUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan calon DUN Jalong, Pan Chean Chang.

Pada 7 November lalu, sebuah portal berita melaporkan seorang calon yang bertanding mempersoalkan tindakan calon lawan yang didakwa melakukan pelanggaran Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 1957.

**media[1981828]**

Pemasangan bahan kempen sebelum hari penamaan dan had perbelanjaan untuk membiayai kempen politik melebihi RM200,000 antara kesalahan yang didakwa dilakukan calon tersebut.

Dalam pada itu, Hishamuddin yakin kerusi Parlimen Sungai Siput akan kembali kepada BN berdasarkan maklum balas masyarakat setempat.

Jelasnya, kemenangan BN di Sungai Siput akan menyambung legasi sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat di Parlimen tersebut.

Beliau berkata, komposisi calon di Parlimen Sungai Siput tidak jauh berbeza dengan di Parlimen Sembrong yang disandangnya.

“Ada persamaannya kita di sini dengan saya lalui di Sembrong di mana Ahli Parlimen datang dari UMNO, satu ADUN Paloh dari MCA dan satu lagi ADUN Kahang daripada MIC. Saya harap ini dapat membuktikan bahawa kepelbagaian itu dijadikan satu kekuatan.

“Ini memberikan satu mesej kepada mereka yang mengamalkan politik kebencian, politik perpecahan, politik perkauman, politik dendam itu semua saya tengok meletihkan anak muda dan bertahun diulang, takkan itu sahaja yang nak kita perjuangkan,” katanya.